AM

KPM, KDN PERLU PUTUS MEKANISME TANGANI ISU PELAJAR GOLOK BERSEKOLAH DI RANTAU PANJANG

21/11/2024 05:24 PM

KOTA BHARU, 21 Nov (Bernama) -- Satu mekasnisme perlu diputuskan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyelesaikan isu pelajar Golok yang bersekolah di Rantau Panjang, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata perkara itu perlu diputuskan supaya pendidikan pelajar terlibat tidak terjejas.

"Dalam hal sempadan ini, ia melibatkan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan namun kita (kerajaan negeri) bersedia memberi kerjasama bagi mengatasi isu-isu berbangkit di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan negeri ini.

"Kita tidak mahu menganiaya pelajar ini namun dalam sama kita mahu membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan yang terletak di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan Kelantan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri tidak boleh mendahului Kerajaan Persekutuan dalam isu sempadan kerana ia melibatkan dua buah negara, bukan hanya negeri.

Pada 19 Nov lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.

Sebelum itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata polis akan menahan mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand khususnya di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Dis ini.

Mohd Yusoff berkata pihaknya akan mula menggunakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 untuk menahan rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan