KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, membuka tirai hari ini dan akan menjadi platform terbaik rakyat Malaysia untuk datang dan melihat sendiri hasil pencapaian kerajaan bagi tempoh dua tahun.
Berlangsung selama tiga hari hingga Ahad bermula 8 pagi hingga 6 petang, program ini memberi ruang kepada rakyat untuk lebih memahami usaha dan inisiatif Kerajaan MADANI, serta langkah reformasi perkhidmatan awam yang diterjemahkan bagi manfaat secara langsung kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 24 Nov 2022.
Bertemakan "MADANI di Hati, Rakyat Disantuni", program yang disasarkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 pagi, Sabtu.
Dalam program itu, hasil pencapaian setiap kementerian sepanjang dua tahun ini akan dipamerkan di reruai masing-masing dan penganjuran Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 pula adalah bagi membincangkan pembaharuan sektor awam yang inklusif dan berdaya saing oleh pemimpin, pakar dan komuniti.
Seperti lazimnya, program ini menyaksikan setiap kementerian membuka reruai dengan program khas antaranya Jualan Rahmah MADANI dengan potongan hingga 30 peratus serta tawaran produk usahawan tempatan yang dibawakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Bagi belia yang sedang mencari pekerjaan, peluang ini wajar direbut kerana Karnival Kerjaya menawarkan 3,000 peluang pekerjaan pelbagai jawatan dengan penglibatan lebih 40 majikan.
Bukan itu sahaja, pertandingan e-Sukan, kaunter khas bayaran kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 60 peratus, kaunter pembayaran saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pembaharuan lesen memandu serta lesen kenderaan motor dan pertukaran 5,000 topi keledar secara percuma pastinya akan menjadi tumpuan pengunjung.
Orang ramai juga berpeluang menukar al-Quran baharu menerusi program "Jom Exchange Al-Quran (JEQ)" dengan membawa naskah al-Quran lama yang tidak mempunyai perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN), terhad senaskah kepada seorang pengunjung.
Sepanjang program itu, terdapat lebih 150 perkhidmatan touch point rakyat, seperti saringan pemeriksaan kesihatan percuma dan klinik rawatan merokok di reruai Kementerian Kesihatan (KKM) manakala Kementerian Kerja Raya (KKR) menawarkan perkhidmatan pendaftaran kontraktor Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan tawaran kursus serta latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kementerian Komunikasi menerusi jabatan dan agensinya, seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Penyiaran RTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga menawarkan pelbagai aktiviti interaktif di reruai masing-masing.
Kementerian Kewangan pula menawarkan antaranya semakan wang tidak dituntut, semakan laporan kredit individu (CCRIS/CTOS), semakan kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selain turut memberi pendedahan berkaitan isu penipuan pelaburan.
Pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI untuk meningkatkan pendapatan rakyat serta advokasi berkaitan Kongres Ekonomi Bumiputera dan banci pertanian serta yang berkaitan input bagi Rancangan Malaysia Ke-13 antara yang diketengahkan Kementerian Ekonomi pada program 2TM ini.
Pada program itu juga, Kementerian Pertahanan membuka reruai pameran senjata ringan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kaunter perkhidmatan veteran dan promosi askar wataniah manakala antara inti pati di reruai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ialah nasihat dan perkhidmatan aspek perumahan.
Majlis Penutup progran berkenaan akan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 4.30 petang, Ahad.
Program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta pihak berkepentingan.
Ia hasil kesinambungan Program Setahun Kerajaan MADANI yang telah diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember 2023.
-- BERNAMA