AM

PROGRAM 2TM: PENGUNJUNG DISARAN GUNA PENGANGKUTAN AWAM KE KLCC

22/11/2024 10:54 AM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Orang ramai yang akan mengunjungi Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini bermula hari ini, disaran untuk menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan tren bagi mengelakkan kesesakan. 

Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) menerusi laman Facebooknya juga menasihati pengunjung merujuk aplikasi PULSE untuk hentian bas di sepanjang laluan untuk ke lokasi program itu.

Semalam, Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan memaklumkan kekerapan tren dan laluan bas Rapid KL terpilih akan ditambah bermula hari ini bagi memudahkan pengunjung ke program dan langkah berkenaan adalah komitmen pihaknya dalam menyokong usaha kerajaan menyampaikan maklumat berkaitan hala tuju secara terus kepada rakyat.

Menurut Prasarana lokasi program 2TM boleh diakses menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL, iaitu menerusi Stesen LRT KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen MRT Persiaran KLCC (LaluanPutrajaya) dan Stesen Raja Chulan (Monorel Kuala Lumpur). 

"Kekerapan tren bagi LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Putrajaya akan ditingkatkan kepada setiap tiga dan lima minit bermula10 pagi hingga 3 petang pada Sabtu. Langkah ini dapat memberi lebih kapasiti dan keselesaan kepada pengunjung untuk hadir," menurut kenyataan itu.

Bagi perkhidmatan bas pula, Prasarana memaklumkan Rapid KL akan menambah bilangan bas bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan laluan 300 (Pandan Indah - Lebuh Ampang); laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang) dan laluan 402 (Titiwangsa – KLCC).

Pengunjung juga disaran untuk menggunakan kemudahan Park N Ride di stesen-stesen rel terpilih dengan kad Touch ‘N Go yang sama bagi mendapatkan kadar rata bagi bayaran parkir.

"Rapid KL turut menambah bilangan anggota Polis Bantuan dan pegawai operasi di stesen-stesen rel terpilih dan hab bas KLCC bagi memberikan khidmat layanan terbaik selain menjaga keselamatan penumpang,” menurut Prasarana.

Program 2TM yang berlangsung hingga Ahad bermula 8 pagi hingga 6 petang, memberi ruang kepada rakyat untuk lebih memahami usaha dan inisiatif kerajaan MADANI, serta langkah reformasi perkhidmatan awam yang diterjemahkan bagi manfaat secara langsung kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan selain pelbagai aktiviti menarik di reruai kementerian dan agensi berkaitan.

Jualan Rahmah MADANI dengan potongan harga hingga 30 peratus serta tawaran produk usahawan tempatan yang dibawakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) juga akan memeriahkan lagi program itu.

Bertemakan "MADANI di Hati, Rakyat Disantuni", program yang disasarkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 pagi, esok.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan