SUKAN

PIALA RAKAN GRAB SEMARAKKAN PERPADUAN DAN BAKAT BOLA SEPAK KOMUNITI

22/11/2024 12:00 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Grab Malaysia baru-baru ini menganjurkan Piala Rakan Grab iaitu kejohanan bola sepak komuniti di seluruh negara bagi menyemarakkan semangat keakraban dan perpaduan dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar Grab.

Kejohanan tiga minggu itu berlangsung di 11 lokasi iaitu Kuantan, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuching, Johor Bahru, Ipoh dan Kota Kinabalu melibatkan lebih 1,200 rakan Grab, keluarga serta pemain Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo berkata inisiatif ini bukan sahaja mengeratkan hubungan di luar tugas harian malah mengukuhkan lagi ikatan melalui persaingan mesra.

“Melalui bola sepak, kami berharap dapat memupuk perpaduan, kerjasama dan mewujudkan kenangan yang berkekalan. Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan kami terhadap kuasa sukan untuk menyatukan komuniti dan mengukuhkan komitmen kami untuk menyokong rakan Grab dengan cara yang bermakna,” katanya dalam kenyataan.

Kejohanan diadakan di Selangor dan Kuala Lumpur turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang memuji inisiatif berkenaan kerana mendekati komuniti sambil memupuk bakat awal melalui klinik bola sepak dan berharap program ini memberi inspirasi menyokong generasi muda untuk terus mengejar minat mereka dalam bola sepak.

Grab Malaysia juga menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan MFL bagi menganjurkan klinik bola sepak di seluruh negara bagi memberi peluang kepada anak-anak rakan Grab untuk meningkatkan kemahiran mereka sambil  mengambil bahagian secara aktif dalam sukan ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Grab Malaysia dalam menyokong serta melibatkan rakan-rakannya melalui program komuniti seperti Piala Rakan Grab dan klinik bola sepak, selain beraspirasi untuk memperkasa rakan Grab, mengukuhkan hubungan dan menyumbang kepada pembangunan komuniti yang dinamik di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan