KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Menara Kuala Lumpur dan bangunan pencakar langit Menara Exchange 106 di sini akan diterangi cahaya jingga pada 25 Nov ini sempena Hari Antarabangsa Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (IDEVAW).
Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) Malaysia, dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencahayaan Menara KL menandakan permulaan kempen 16 Hari Aktivisme, memfokuskan kepada advokasi yang positif dan penyelesaian untuk menghentikan semua bentuk keganasan terhadap wanita dan gadis.
“Sehingga kini, keganasan terhadap wanita kekal sebagai antara pelanggaran hak asasi manusia yang paling meluas di seluruh dunia. Hampir satu daripada tiga wanita di peringkat global pernah mengalami keganasan fizikal atau seksual sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
“Ia memberi kesan fizikal dan psikologi mendalam kepada wanita, dengan kesan negatif yang berpanjangan sepanjang kehidupan mereka,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan kempen #OrangeTheNation merupakan seruan tindakan terbuka dan inklusif di seluruh negara, yang berlangsung dari 25 Nov hingga 10 Dis, dan semua pihak digalakkan mengambil bahagian.
“Kami menjemput semua pemilik bangunan, papan tanda digital luar, institusi dan rakyat Malaysia untuk menyertai sepanjang 16 Hari Aktivisme dan mengambil bahagian dalam seruan kami untuk menghentikan keganasan terhadap wanita dengan menyalakan lampu jingga atau memakai pakaian berwarna jingga sebagai menunjukkan solidariti kolektif dan advokasi,” menurut kenyataan itu.
UNFPA memaklumkan Perbadanan Putrajaya turut serta dalam kempen #OrangeTheNation tahun ini dengan menyalakan beberapa bangunan dan jambatan termasuk Jambatan Seri Wawasan serta Jambatan Seri Saujana, di samping Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sepanjang kempen berkenaan.
Sementara itu, Inner Wheel District 330, yang menganjurkan acara serupa di Exchange 106 dalam kenyataan memaklumkan, reka bentuk bangunan pencakar langit yang menarik serta kehadirannya yang megah menjadikannya latar belakang yang ideal untuk acara dan inisiatif amal seperti kempen Orange the World.
“Dengan menerangi mercu tanda ini dalam warna jingga, Inner Wheel dan rakan kongsinya berhasrat untuk menyerlahkan kepentingan perpaduan, tindakan dan tanggungjawab bersama untuk menghentikan keganasan terhadap wanita dan gadis,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA