KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Agensi ekosistem pemula niaga Malaysia Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kapital DX Sdn Bhd (KLDX), bursa sekuriti digital Malaysia untuk menyediakan saluran pembiayaan alternatif kepada pemula niaga Malaysia.
Kerjasama itu menawarkan fleksibiliti yang lebih besar kepada pemula niaga dalam memilih pembiayaan yang sesuai dengan keperluan unik mereka, membolehkan syarikat yang mungkin tidak menarik perhatian firma modal teroka (VC) tempatan bagi mendapatkan pembiayaan melalui platform KLDX.
Kerjasama strategik itu merupakan inisiatif utama di bawah Program Fund Funnel oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
MOSTI dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan program tersebut bertujuan menangani antara cabaran utama dalam ekosistem pemula niaga Malaysia iaitu kekurangan kesinambungan kewangan dari peringkat awal hingga peringkat pertumbuhan seterusnya.
“Jurang ini dikenal pasti sebagai penghalang utama kepada pertumbuhan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030,” menurut kenyataan itu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan dalam kenyataan yang sama berkata dengan menyediakan pilihan pembiayaan alternatif, ia memberi peluang kepada pemula niaga berkembang sekali gus merealisasikan hasrat Malaysia untuk berada dalam 20 ekosistem pemula niaga terbaik dunia menjelang 2030.
Cradle secara aktif akan mempromosikan platform KLDX kepada rangkaian alumninya, menawarkan laluan alternatif bagi mendapatkan pembiayaan termasuk merapatkan jurang kewangan pada peringkat pertumbuhan kritikal.
Platform KLDX pula dapat diakses melalui platform tetingkap tunggal MYStartup, menyediakan akses mudah kepada penyelesaian pembiayaan untuk pemula niaga Malaysia.
Bagi maklumat lanjut mengenai ekosistem pemula niaga Malaysia, orang ramai boleh melayari www.mystartup.gov.my.
-- BERNAMA