JENAYAH & MAHKAMAH

2TM: GOLONGAN OKU SYUKUR JPJ SEDIA KAUNTER KHAS TUKAR TOPI KELEDAR

24/11/2024 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Sebanyak 400 daripada 1,500 topi keledar baharu diagihkan di kaunter khas yang disediakan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di reruai Jabatan Pengangkutan Jalan sempena hari terakhir Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) hari ini.

Sebanyak 200 topi keledar baharu telah diagihkan pada sebelah pagi, dan tinjauan Bernama mendapati urusan pengagihan selesai selepas satu jam kaunter khas yang disediakan kepada OKU, warga emas dan ibu mengandung itu dibuka.

JPJ telah menyediakan keseluruhan 5,000 unit topi keledar baharu, menyaksikan 1,500 telah diagihkan pada hari pertama diikuti 2,000 unit pada hari kedua semalam.

Reruai JPJ yang dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 pagi hingga 6 petang itu, mendapat sambutan luar biasa dengan pengunjung mula beratur seawal 7.30 pagi untuk menukar topi keeldar lama kepada baharu secara percuma.

Pengunjung OKU, Hairudin Che Mat, 63, berkata dia tidak sangka tempoh menunggu untuk menukar topi keledar tidak mengambil masa yang lama, malah proses pertukaran juga berjalan dengan mudah.

“Saya ini warga emas dan OKU, dan JPJ bagi keistimewaan sikit tidak perlu beratur. 

“Proses semua senang sangat sebab pihak JPJ memang dahulukan kita (di kaunter khas). Sejurus selesai acara KL-Car Free Morning, saya terus datang sini sebab memang dah dekat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Hairudin berkata pemilihan tempat pengagihan juga strategik kerana banyak kemudahan pengangkutan awam boleh digunakan.

Sementara itu, Saffee Ahmad, 70, berkata sebagai seorang OKU dan juga warga emas dia sangat bersyukur kerana tidak perlu beratur panjang untuk menukar topi keledar lama kepada baharu.

“Saya ini sudah tua,  jadi memang senang bila ada kaunter khas macam ini, untuk  OKU dan warga emas yang nak datang tukar helmet, jangan risau, tak perlu beratur panjang sebab saya pun selesai kurang satu jam,” katanya. 

Kaunter pertukaran topi keledar yang menjadi pengisian pada Program 2TM bertemakan ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’ akan berakhir hari ini dengan hanya berbaki 750 unit untuk diagihkan pada sesi petang.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan