AM

2TM: PENERANGAN PEMILIKAN KEDIAMAN PPAM DI RERUAI JPM

24/11/2024 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Penjawat awam berpeluang mendapatkan penerangan berkaitan Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI (PPAM) di reruai Jabatan Perdana Menteri pada  Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini. 

Timbalan Pengarah Sektor Teknikal dan Operasi PPAM Zulkifli Jahaya berkata sambutan diterima daripada penjawat awam di reruai itu sejak dibuka pada Jumaat lepas,  amat memberangsangkan. 

“Sepanjang tiga hari ini, ramai yang datang dapatkan penjelasan dan penerangan berkenaan PPAM ini serta cara untuk memohon unit PPAM.

“Selain mempromosi unit PPAM di Kuala Lumpur untuk penjawat awam bertugas di ibu kota, kita turut mempromosi unit PPAM di seluruh negara bagi memberi peluang kepada mereka untuk memiliki kediaman,” katanya.

Zulkifli berkata penjawat awam yang berminat untuk memohon unit PPAM boleh mendaftar dan memohon di www.ppam.gov.my.

Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Nurul Syahidah Shaari berkata pendekatan kerajaan dalam menyediakan PPAM bagi memberi peluang pemilikan kediaman berkualiti kepada penjawat awam di lokasi strategik dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran itu perlu diteruskan.

Beliau yang sedang mencari kediaman pertama turut menzahirkan penghargaan atas usaha mempromosi dan memberikan penerangan berkenaan prosedur bagi pemohonan PPAM di reruai itu.

Bagi Pegawai Khidmat Pelanggan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mohd Fikri Mat Noh menghargai inisiatif kerajaan dalam menyediakan peluang pemilikan rumah lebih mampu milik untuk penjawat awam, terutama bagi mereka yang bercadang mendapatkan kediaman di kawasan ibu kota.

Mohd Fikri berkata PPAM memberikan peluang buat penjawat awam memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti tanpa perlu dibebani kos terlalu tinggi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan