BINTULU, 24 Nov (Bernama) -- Remaja yang hilang selepas dibawa arus di pantai kampung nelayan Batu Mandi dekat sini petang semalam ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali berkata mayat Valentino Austin Richie, 18, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) lebih kurang satu batu nautika dari pesisir pantai pada 9.18 pagi tadi.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Bintulu dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mangsa merupakan warga tempatan yang tinggal tidak jauh dari tempat kejadian.
"Menurut rakan mangsa, semasa sedang mandi bersama rakan-rakan, mangsa telah dihempas ombak dan dipercayai hanyut dibawa arus yang kuat," katanya.
-- BERNAMA