EKONOMI

KPKS PERAK ADAKAN LAWATAN KE CHINA BAGI PERKASA PKS TEMPATAN

25/11/2024 12:22 PM

Oleh Syamsiah Sahat

GUANGZHOU, 25 Nov (Bernama) -- Dalam memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, Persatuan Kelestarian Perniagaan Kecil dan Sederhana Kinta (KPKS) Perak mengambil inisiatif melakukan lawatan ke China bagi mencari peluang kerjasama dengan PKS di negara itu. 

Naib Presiden KPKS Tan Boon Chye berkata lawatan selama enam hari itu yang bermula 23 November lepas merupakan satu langkah penting untuk memastikan PKS tempatan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa. 

“Kita mahu membawa PKS tempatan, sebagai permulaan dari kawasan Jelapang dan Perak untuk mencari peluang kerjasama dengan PKS di China.

“PKS tempatan akan dibantu dari segi teknikal melalui jalinan kerjasama perniagaan antara kedua-dua pihak,” katanya kepada Bernama di sini. 

Turut serta dalam delegasi itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Jelapang Cheah Pou Hian, Presiden KPKS Ooi Kah Biew serta peserta delegasi yang terdiri daripada pengusaha PKS Perak. 

Mereka ialah Pengarah Eksekutif TD Furniture Group Wong Kok Hun, Pengarah Eksekutif Semangat Hikmat Sdn Bhd Datuk Loo Leap Chye, Pengarah Eksekutif Hurm Burg Marketing (M) Sdn Bhd Yong Wai Meng, Pengarah Eksekutif Chiang Ying Engineering Sdn Bhd Chiang Voon Mun.

Selain itu, Pengarah Eksekutif Sin Hock Leong Coach Sdn Bhd Bernard Ng Chong Yan, Ketua Pegawai Eksekutif Salutica Bhd Joshua Lim Phan Yih, Pengarah Eksekutif Green Master Harvest Sdn Bhd Sit Heng Yeen dan Pengarah Eksekutif Symphony Action Sdn Bhd Chia Chee How. 

Tan berkata antara tujuan utama lawatan itu ialah mempelajari teknik pengendalian PKS di China yang lebih maju supaya PKS tempatan dapat mengguna pakai teknik yang sama untuk meningkatkan pengeluaran sekali gus dapat bersaing dengan pasaran global. 

“Persaingan global kini semakin sengit dan PKS tempatan menghadapi margin keuntungan yang semakin berkurangan.

“Oleh itu, jika mereka tidak ubah cara termasuk dari segi kaedah pengeluaran mereka dengan menggunakan teknologi seperti IR 4.0 (Revolusi Industri Keempat) atau AI (Kecerdasan Buatan), PKS kita akan ketinggalan,” katanya. 

Sementara itu, Cheah berkata beliau selaku penasihat dan pemudah cara bersetuju menerima jemputan untuk mengikuti rombongan itu kerana ia merupakan antara usaha transformasi komuniti. 

“Rombongan ini juga bertujuan membawa pengusaha PKS tempatan melawat International Supply Chain Expo di Beijing, selain terdapat beberapa siri perjumpaan dengan dewan perniagaan tempatan (China) untuk meluaskan pasaran perniagaan kedua-dua pihak,” katanya. 

Delegasi itu turut melawat perusahaan berteknologi tinggi termasuk Wision Furniture di Foshan, pengilang perabot IR 4.0 yang mampu menguruskan 12,000 tempahan setiap hari dan BosWindor, pengilang ketiga terbesar yang mengeluarkan tingkap dan pintu di China. 

Selain itu, Louvre Furniture Mall, galeri perabot premium yang dilengkapi dengan lebih 2,000 kedai perabot berjenama dari seluruh dunia seperti Versace Furniture dan Casa Fendi serta jenama tempatan China.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan