AM

KERAJAAN TIDAK GUNAKAN DANA SYARIKAT SWASTA UNTUK PENERBANGAN RASMI - PM ANWAR

25/11/2024 01:13 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihaknya tidak sama sekali menggunakan dana syarikat swasta untuk membiayai kos penerbangan lawatan rasmi ke empat negara, sebaliknya ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dengan kos RM1.6 juta.

Anwar menjelaskan baki tempat duduk dalam pesawat khas Malaysia Airlines tersebut ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya mempunyai tujuan ke negara-negara berkenaan bagi urusan pelaburan atau usaha sama dan syarikat-syarikat tersebut membayar kos masing-masing yang berjumlah RM4.5 juta.

“Jika guna jet Eksekutif Kerajaan, kos perlu ditanggung Kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara. Namun dengan perkongsian ini, kos untuk Kerajaan hanya RM1.6 juta.

“Saya ulang, Kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” katanya dalam catatan terbaharu dalam Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada laporan Sinar Harian yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center Pushpan Murugiah, yang mendakwa tindakan Anwar menggunakan dana syarikat swasta untuk urusan luar negara boleh menyebabkan kerajaan menerima tekanan daripada syarikat terbabit untuk mendapatkan balasan.

 Pushpan Murugiah berkata walaupun pertimbangan kewangan mungkin menjadi faktor utama keputusan itu, namun kerajaan juga seharusnya mengambil kira kemungkinan terjadinya perselisihan antara kepentingan kerajaan dan swasta.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini dilapor berkata kerajaan berjaya menjimatkan hampir RM1 juta membabitkan kos penerbangan bagi lawatan rasmi Anwar bersama delegasi rasmi baru-baru ini.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan hanya menanggung RM1.662 juta menerusi sewaan pesawat khas iaitu Airbus A350 Malaysia Airlines berbanding kos penggunaan pesawat rasmi kerajaan iaitu RM2.5 juta.

“Kos ini telah dibiayai oleh kerajaan Malaysia untuk delegasi rasmi iaitu RM1.662 juta bersamaan 27 peratus daripada kos keseluruhan.

“Pihak kerajaan dapati ada penjimatan (sewaan pesawat khas) jika dibandingkan dengan penggunaan pesawat sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan