AM

KKR LULUS 100 PERATUS PERMOHONAN SELENGGARA LAMPU JALAN, LAMPU ISYARAT DI SABAH

25/11/2024 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan keseluruhan permohonan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat bagi tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM9.7 juta.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pelaksanaan kerja penyelenggaraan itu dilakukan secara berfasa dengan fasa pertama melibatkan peruntukan RM7 juta yang diluluskan pada Januari, manakala fasa kedua melibatkan peruntukan tambahan RM2.7 juta yang diluluskan pada Ogos.

“Bagi daerah Tawau, RM1.05 juta diluluskan untuk menangani tunggakan (backlog) penyelenggaraan lampu jalan...melalui peruntukan ini banyak lampu jalan yang telah dibaiki dan masalah jalan gelap di kawasan berisiko telah diambil tindakan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai jaminan penyaluran peruntukan bagi menyelesaikan masalah penyelenggaran lampu jalan Persekutuan di Tawau yang tidak mendapat peruntukan sejak 2022 sehingga menyebabkan jalan sangat gelap dan berlakunya kemalangan.

Ahmad berkata pada 2022, KKR telah meluluskan RM1.7 juta bagi peruntukan penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat bagi Sabah manakala untuk 2023, sebanyak RM1.4 juta telah diluluskan.

Dalam pada itu, beliau berkata andaian mengatakan lampu jalan tidak diselenggara mengakibatkan kemalangan jalan raya, tidak begitu tepat.

“Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) menunjukkan 80 peratus kemalangan disebabkan kecuaian, 13 peratus oleh permukaan jalan dan tujuh peratus disebabkan keadaan kenderaan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan