AM

TIKTOK, CMCF KERJASAMA BENTUK LANDSKAP MEDIA LEBIH SELAMAT, ADIL

25/11/2024 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Platform video mudah alih pendek TikTok akan bekerjasama dengan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dalam usaha penggubalan polisi, penetapan standard industri dan promosi berterusan terhadap landskap media yang lebih selamat dan adil.

CMCF dalam kenyataan hari ini memaklumkan TikTok sebagai platform terkemuka dengan pangkalan pengguna global yang pelbagai akan menyumbangkan wawasan bernilai mengenai landskap digital yang sentiasa berkembang.

Hal itu sekali gus membolehkan CMCF memperkukuh peranannya dalam melindungi pengguna dan menggalakkan kawal selia kendiri kandungan.

Menerusi kenyataan itu, CMCF mengumumkan penerimaan TikTok sebagai ahli terkini organisasi terbabit di bawah kategori baharu, iaitu kategori 'Penyedia Teknologi, Media, dan Perkhidmatan Digital' dan ia merupakan kali pertama TikTok menyertai CMCF, susulan pindaan perlembagaan forum industri tersebut awal tahun ini.

“Penyertaan TikTok dalam keahlian CMCF menekankan komitmen kedua-dua pihak untuk memupuk penciptaan dan pengedaran kandungan yang bertanggungjawab, memastikan agar ekosistem media digital kekal sejajar dengan standard tertinggi integriti, keselamatan dan kepercayaan pengguna,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi CMCF Rafiq Razali dalam kenyataan sama berkata penyertaan TikTok merupakan langkah penting dalam bekerjasama membentuk polisi industri, memastikan kandungan yang bertanggungjawab dan meningkatkan kepercayaan dalam ruang digital demi manfaat pengguna di seluruh negara.

“Kami sangat berbesar hati untuk menyambut TikTok sebagai ahli dalam kategori Penyedia Teknologi, Media dan Perkhidmatan Digital. Pencapaian ini mencerminkan komitmen kami untuk membina ekosistem digital yang seimbang dan bertanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan