AM

PENGAMBILAN SEMULA TANAH PUNCA KELEWATAN PLSB SUNGAI GOLOK FASA 1 - EXCO

25/11/2024 06:36 PM

KOTA BHARU, 25 Nov (Bernama) -- Pengambilan balik tanah akibat perubahan jajaran Jalan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) Pengkalan Kubor, Tumpat dikenal pasti antara punca kelewatan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata projek itu yang mula dilaksanakan April 2018 sepatutnya siap Ogos tahun ini, namun kontraktor memohon lanjutan masa disebabkan proses pengambilan balik tanah dan ia diluluskan pada 30 Jan lepas dengan lanjutan masa selama 707 hari. 

"Berikutan itu projek PLSB fasa 1 yang kini mencapai kemajuan 70 peratus dijangka disiapkan pada tarikh baharu pada 26 Julai 2026 nanti," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Izani berkata PLSB Sungai Golok Fasa 2 di peringkat Lembaga Perolehan bagi Prakelayakan Tender di bawah kementerian manakala pembangunan PLSB Sungai Golok Fasa 3 yang bernilai RM461 juta pula dalam proses reka bentuk terperinci dengan kemajuan semasa sebanyak empat peratus dan kerja-kerja fizikal dijangka bermula Januari ini.

Mengulas pelan mitigasi banjir, Izani berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun ini telah menyediakan Pelan Induk Sistem Saliran Mesra (PISMA) bagi jajahan Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas.

“Pelan itu juga akan diteruskan pada tahun hadapan yang melibatkan jajahan Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Bachok, Jeli dan Tumpat. PISMA ini boleh dijadikan sebagai rujukan utama dalam menyediakan pelan saliran yang lebih berkesan bagi mengawal banjir secara lokaliti," katanya.

Beliau berkata JPS juga sedang menyediakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) yang bertujuan untuk menyediakan pelan penstrukturan dan baik pulih sungai, sumber air dan mitigasi banjir.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan