ISKANDAR PUTERI, 25 Nov (Bernama) -- Johor berhasrat memperluas tanaman lada hitam berskala sederhana di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip.
Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk menjalankan tanaman itu, sekali gus membantu pengusaha terlibat.
“Saya difahamkan Lembaga Lada Malaysia mengimport sejumlah 3,000 tan lada hitam setahun.
“Kita nampak peluang luas bagi mereka yang mengusahakan lada hitam, sebab itu kerajaan negeri hendak bantu mereka untuk memulakan penanaman berskala sederhana ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.
Zahari berkata pihaknya akan berbincang dengan Lembaga Lada Malaysia dan pengusaha tanaman berkenaan berkaitan keperluan bagi memperluas tanaman itu.
“Kawasan sedia ada (tanaman lada hitam) sekarang ini berselerak di Felda Inas di Kulai, sekitar Batu Pahat dan Pontian, tetapi ia berskala kecil,” katanya.
Setakat ini, tanaman lada hitam di negeri ini melibatkan kawasan seluas 21.6 hektar dengan 90 pengusaha.
-- BERNAMA