KUALA NERUS, 25 Nov (Bernama) -- Pemain tengah import Terengganu FC (TFC) Marin Pilj sah meninggalkan pasukan Liga Super berkenaan hari ini.
Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Sabri Abas menerusi laman Facebook rasmi kelab berkenaan.
Mohd Sabri berkata pihaknya telah mencapai persetujuan dengan pemain kelahiran Croatia itu untuk menamatkan kontraknya lebih awal iaitu pada pertengahan musim 2024/2025.
“Pemain ini telah menghantar surat permohonan untuk penamatan kontrak secara persetujuan bersama atas alasan tidak dapat memberi fokus kerana masalah peribadi.
“Sebelum ini, beliau hadir bersama barisan kejurulatihan yang berasal dari Croatia, tetapi selepas barisan kejurulatihan juga menamatkan kontrak lebih awal, Pilj tidak dapat bertahan dan menyesuaikan diri dengan baik di Liga Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Sabri berkata pihaknya cuba berunding dan memberi ruang bagi membolehkan pemain berkenaan terus berkhidmat di Terengganu sehingga akhir musim.
Bagaimanapun, Pilj tidak dapat memberikan komitmen seperti yang diharapkan kelab.
“Walaupun berat, TFCSB terpaksa melepaskan Pilj, kerana ia memberi impak negatif kepada perjalanan kelab dan imej pasukan.
“Ini adalah kali pertama beliau keluar berkelana dari Eropah ke negara Asia. Ketiadaan rakan senegara menyebabkan beliau tidak dapat bertahan dan memilih untuk pulang semula ke negaranya,” katanya.
Beliau berkata sebelum ini TFCSB turut melepaskan seorang lagi pemain pertahanan import iaitu Matthew Steenvorden yang bergelut dengan masalah kecederaan.
-- BERNAMA