PASIR MAS, 25 Nov (Bernama) -- Sampan kini menjadi kenderaan utama penduduk Kampung Gual To' Deh di sini untuk menjalankan urusan harian apabila kampung berkenaan dinaiki air akibat hujan berterusan sejak minggu lepas.
Tinjauan Bernama di kampung itu menyaksikan sampan diletakkan di pekarangan rumah penduduk bagi digunakan sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Seorang penduduk Muhammad Faris Che Samad, 37, berkata kaedah pengangkutan di kawasan itu telah berubah setiap kali musim tengkujuh melanda.
"Apabila air naik, kami akan mengalihkan motosikal serta kereta ke kawasan tinggi dan menggantikannya dengan sampan yang menjadi kenderaan rasmi untuk kami berulang-alik dari rumah ke jalan utama.
"Setiap tahun apabila hujan lebat, paras air naik setinggi lebih satu meter, malah ada sesetengah kawasan sampai lebih dua meter," katanya.
Muhammad Faris berkata kampung itu terletak di kawasan rendah, kira-kira 200 meter dari Sungai Golok menyebabkan rumah mereka hanya boleh diakses dengan sampan atau bot.
"Penduduk di sini lazimnya bersiap sedia dengan sekurang-kurangnya sebuah sampan bagi kegunaan keluarga menguruskan hal seperti menghantar anak ke tebing jalan utama untuk ke sekolah dan keluar bekerja.
"Suasana ini akan kami hadapi dalam tempoh agak lama sepanjang musim tengkujuh, mungkin dua minggu atau sebulan," katanya.
Seorang penduduk Nik Afzan Nik Soh, 30, berkata mereka sudah kalis dengan situasi seperti itu setiap tahun menyebabkan rata-rata penduduk pelbagai peringkat umur mahir mengendalikan sampan.
"Semua urusan pergerakan penduduk dalam tempoh banjir dilakukan menggunakan sampan, malah ada penduduk perlu mendayung sampan sejauh satu kilometer meredah banjir berulang-alik ke rumah masing-masing," katanya.
-- BERNAMA