AM

27 WARTAWAN DARI 11 NEGARA SERTAI KNOW INDIA PROGRAMME KE-79

26/11/2024 12:32 PM

Daripada N. Sevagamy

NEW DELHI, 26 Nov (Bernama) -- Seramai 27 wartawan diaspora India dari 11 negara mengambil bahagian dalam Know India Programme (KIP) edisi ke-79, satu inisiatif tiga minggu yang dianjurkan oleh kerajaan India.

Penyelaras program Shalini Sharma berkata peserta antara lain dari Malaysia, Mauritius, Singapura, Indonesia, Fiji, Sri Lanka, Kenya dan New Zealand.

Beliau berkata program itu yang bermula pada 25 Nov hingga 13 Dis depan bertujuan meningkatkan kefahaman peserta mengenai India, meliputi pembangunan merentasi pelbagai sektor seperti ekonomi, industri, pendidikan, budaya serta sains dan teknologi.

"Matlamat utama KIP adalah untuk mengukuhkan hubungan antara belia diaspora India dengan tanah air nenek moyang mereka dengan meningkatkan pengetahuan mereka tentang India," kata Sharma kepada Bernama di sini semalam. 

Beliau berkata peserta bakal berpeluang untuk mempelajari sejarah, budaya dan nilai tamadun India selain melihat kemajuan pesat teknologi negara itu dalam pelbagai bidang.

Program itu turut membawa peserta melawat lokasi menarik seperti Reserve Bank of India, Kementerian Teknologi Elektronik dan Informasi, Memorial Perang Nasional, Parlimen dan Perpustakaan, Muzium Nasional dan Qutub Minar, Taj Mahal dan Press Trust of India.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan