AM

13 PROJEK MITIGASI BANJIR BERNILAI RM493.5 JUTA DILAKSANA DI KLANG

26/11/2024 01:59 PM

SHAH ALAM, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 13 projek mitigasi banjir melibatkan peruntukan berjumlah RM493.5 juta dilaksanakan di Klang.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata dua projek bernilai RM359.7 juta adalah daripada peruntukan Pusat manakala 11 lagi bernilai RM133.8 juta merupakan peruntukan kerajaan negeri.

Beliau berkata projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Klang di Seksyen 25 Shah Alam serta RTB Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar di bawah peruntukan Pusat ketika ini dalam proses pelaksanaan.

“...manakala bagi projek bawah kerajaan negeri, sebanyak tujuh dalam proses pelaksanaan antaranya membabitkan Projek Tebatan Banjir Sungai Kandis (Fasa 2), Rancangan Tebatan Banjir Sungai Rasau Fasa 2 dan kerja menaik taraf sistem saliran Taman Melawis.

“Empat lagi projek dalam proses prapelaksanaan antaranya projek Tebatan Banjir di Sungai Batu Enam Sementa dan menaik taraf sistem saliran di Batu 4 Jalan Kapar dan Taman Klang Utama Fasa 2,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Bangunan SUK di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) berhubung laporan terkini pelaksanaan projek mitigasi banjir di daerah Klang. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan