AM

MALAYSIA KECAM TINDAKAN PROVOKASI KOREA UTARA

26/11/2024 06:25 PM

SEOUL, 26 Nov (Bernama) -- Malaysia mengecam tindakan provokasi oleh Korea Utara yang bukan sahaja menyebabkan ketidakstabilan di rantau ini tetapi juga tidak selari dengan nilai kemanusiaan yang diterima semua, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebarang provokasi oleh Pyongyang boleh mengganggu keseluruhan proses untuk membawa keamanan di rantau ini dan menyebabkan ketidaktentuan yang lebih besar.

“...apa saja dasar, peluru berpandu, nuklear, mereka mahu miliki untuk diri sendiri. Ia adalah isu yang berbeza tapi apabila tindakan itu dianggap provokatif atau mencabar mana-mana negara lain, maka kita mengecamnya.

“Malaysia mengambil pendirian tegas. Kita mengecam provokasi oleh Korea Utara kerana ia tidak selaras dengan nilai yang kita terima, serta nilai kemanusiaan, aman dan kestabilan di rantau ini,” katanya dalam ucapan khas bertajuk Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia di Seoul National University hari ini.

Anwar menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan hari ini, yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan sempena meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun depan.

Baru-baru ini, kenyataan diketuai Amerika Syarikat (AS) yang disokong oleh 10 daripada 15 ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan Korea Utara yang melancarkan peluru berpandu balistik antara benua dan menggesa Pyongyang kembali ke meja rundingan serta menghentikan ujian peluru berpandunya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan