KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Skim sewa untuk beli (Rent-to-Own) (RTO) akan diteruskan bagi Program Residensi Rakyat (PRR) yang bakal dilancarkan tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata pelaksanaan skim RTO yang ditawarkan kepada pemohon atau bakal pembeli yang gagal mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan, sebagai usaha proaktif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menggalakkan pemilikan rumah secara berperingkat.
“Melalui skim ini, ia juga membuka ruang untuk golongan muda yang baru bekerja memiliki rumah dengan cara menyewa dalam tempoh masa tertentu dan kemudian boleh memilih membeli rumah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi KPKT di Dewan Rakyat hari ini.
Nga berkata KPKT juga menyediakan pelbagai inisiatif antaranya Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan kerajaan memberi jaminan had pembiayaan hingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama untuk rakyat tanpa pendapatan tetap serta berpendapatan rendah dan sederhana.
Selain itu, Kempen Pemilikan Rumah 2.0, iaitu pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pembiayaan untuk pembeli rumah pertama bernilai RM500,000 ke bawah, berlangsung hingga 31 Dis 2025.
Dalam pada itu, Nga berkata setakat 30 Sept lepas, sebanyak 25,903 unit Kediaman Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah dijual dan 19,909 unit atau 76.9 peratus dimiliki golongan belia.
Beliau berkata sejumlah 44,983 unit atau 65 peratus daripada 69,205 unit Rumah Mampu Milik (RMM) yang telah dibina turut dimiliki golongan itu.
Selain itu, 25,030 daripada 41,671, iaitu 60.1 peratus daripada unit RMM yang dibuka untuk jualan oleh PR1MA dimiliki golongan belia dan ia tidak termasuk projek usaha sama yang dilaksanakan PR1MA.
-- BERNAMA