EKONOMI

MISB, OFS DIDAFTAR SEBAGAI AGENSI PELAPORAN KREDIT - MOF

26/11/2024 07:36 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) telah membuat keputusan untuk mendaftarkan MYDATA Informatica Sdn Bhd (MISB) dan One Future Solutions Sdn Bhd (OFS) sebagai Agensi Pelaporan Kredit (APK) baharu di bawah seksyen 14 Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 [Akta 710].

Menurut MOF dalam kenyataan hari ini, kedua-dua syarikat ini menyertai industri pelaporan kredit, yang dianggotai antaranya oleh CTOS Data Systems Sdn Bhd, Experian Information Services (Malaysia) Sdn Bhd dan Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd.

Dengan pendaftaran baharu ini, bilangan APK meningkat kepada 10 daripada lapan yang berdaftar, katanya.

Menurutnya, sebagai entiti baharu dalam industri pelaporan kredit, kedua-dua syarikat ini dijangka melaksanakan pelbagai inisiatif penting dalam masa terdekat.

“Usaha ini sejajar dengan matlamat memperkukuh ekosistem dan industri pelaporan kredit negara serta memberi manfaat kepada pengguna dan institusi kewangan,” katanya.

Menurut MOF, pihaknya yakin bahawa MISB dan OFS akan melaksanakan tanggungjawab mereka secara profesional dan mematuhi segala peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta 710.

Katanya kerajaan juga akan terus memantau pelaksanaan tanggungjawab ini untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan memenuhi standard yang tinggi serta memberi nilai tambah kepada sektor kewangan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan