AM

MOSTI SASAR PENGELUARAN DUA JUTA TAN HIDROGEN SETIAP TAHUN MENJELANG 2030

27/11/2024 05:15 PM

PETALING JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan pengeluaran dua juta tan hidrogen setiap tahun dan meningkat kepada 16 juta tan menjelang 2050 dalam Emission Driven Scenario (EDS) di bawah Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata peralihan itu akan membantu menyahkarbonkan sektor kritikal, seperti penjanaan kuasa dan pengangkutan, pengurangan pelepasan gas rumah hijau hingga 10 peratus selain mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api fosil serta menangani perubahan iklim.

"Melalui HETR, Malaysia merancang untuk menghapuskan hidrogen kelabu berasaskan bahan api fosil dalam jangka masa pendek dan peralihan ke hidrogen kelabu bagi jangka masa panjang.

"Untuk merapatkan jurang, hidrogen biru memainkan peranan penting dengan memanfaatkan infrastruktur bahan api fosil sedia ada sambil menggabungkan penangkapan karbon untuk mengurangkan pelepasan. Dari 2030 hingga 2040, usaha akan tertumpu kepada menjadikan hidrogen hijau lebih kompetitif dari segi kos melalui peningkatan teknologi dan kecekapan, mewujudkan laluan ke arah masa depan mampan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Pemuliharaan dan Kecekapan Tenaga 2024 anjuran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di sini hari ini.

Chang berkata hidrogen biru lebih sukar untuk dikurangkan kerana ia penting untuk industri, seperti logam, keluli, penapisan minyak dan gas serta pengeluaran ammonia.

Beliau berkata cabaran utama ialah kos kerana harga hidrogen kini dua kali ganda berbanding bahan api RON97 tanpa subsidi, jauh lebih mahal daripada RON95 bersubsidi.

"Walaupun HETR menjangkakan hidrogen akan menjadi lebih murah berbanding diesel menjelang 2050 apabila subsidi beralih, namun kita percaya sudah tiba masanya untuk mula mengalihkan subsidi tenaga ke arah sumber boleh baharu, seperti hidrogen sekarang. Peralihan secara beransur-ansur ini, bersama insentif kewangan untuk bahan api lebih bersih, dapat membantu mempercepat peralihan ke arah masa depan tenaga yang mampan," katanya.

Chang berkata strategi utama untuk mempercepat penggunaan hidrogen hijau termasuk menawarkan insentif kewangan, seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) untuk projek berkaitan hidrogen serta sokongan e-dana bagi inovasi dan pengkomersialan.

"Pasaran hidrogen hijau global diunjurkan mencecah US$189.19 bilion menjelang 2050, dengan Asia Pasifik menyumbang 43 peratus kepada pasaran ini, diikuti ASEAN dengan 13 peratus dan Malaysia dua peratus.

"Pelaksanaan HETR yang berjaya membolehkan negara meneroka pasaran yang menguntungkan dengan potensi hasil dianggarkan sekurang-kuranganya RM905 bilion menjelang 2050 di bawah EDS," katanya.

Sementara itu, Chang berkata rancangan untuk menjadikan kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) lebih mampu milik sedang dijalankan, melalui subsidi dan pengecualian cukai terhadap jualan, import dan penggunaan jalan raya.

Beliau berkata mekanisme pembiayaan, seperti pinjaman dengan faedah rendah, dana modal teroka dan perkongsian awam–swasta sedang diteroka untuk menyokong infrastruktur dan projek hidrogen.

"Peningkatan keupayaan turut menjadi keutamaan dengan program latihan yang direka untuk melengkapkan golongan profesional industri, penyelidik dan pembuat dasar dengan kemahiran yang diperlukan bagi memacu ekonomi hidrogen.

Selain itu, Chang berkata MOSTI bekerjasama dengan Petronas dalam memajukan hidrogen biru.

"Menjelang 2025, Petronas merancang untuk membina kemudahan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) bertaraf dunia di Sarawak dengan kos US$260 juta dan mampu menyimpan 3.3 juta tan karbon dioksida (CO2) setiap tahun selama 25 tahun. Inisiatif ini akan membantu meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam penyelesaian tenaga mampan," katanya.

Chang berkata MOSTI juga bekerjasama rapat dengan rakan antarabangsa, seperti UNIDO mengenai Program Hidrogen Bersih Global (GCHP) untuk memperkukuh keupayaan hidrogen hijau Malaysia merangkumi penambahbaikan dasar, melancarkan projek rintis dan menjalin kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan utama, seperti NanoMalaysia, sebuah agensi di bawah MOSTI.

"NanoMalaysia dengan kerjasama UMW Toyota Motor sedang memajukan inisiatif mobiliti hidrogen dengan pelancaran Mobile Hydrogen Refuelling Station pertama Malaysia di Putrajaya menjelang awal 2025 yang mencerminkan komitmen kami terhadap tenaga bersih.

"Melalui platform, seperti Malaysia Hydrogen Industry Alliance (MHIA), syarikat tempatan dalam rangkaian nilai hidrogen bekerjasama untuk mengubah penyelidikan kepada penyelesaian dunia nyata, memacu pembangunan teknologi, pelaburan dan kolaborasi," katanya.

Chang berkata HETR menjadi hala tuju pertama di Malaysia yang dikhaskan untuk peralihan tenaga ke ekonomi hidrogen yang menumpukan kepada keseluruhan rantaian bekalan hidrogen, daripada bahan mentah dan penjanaan kepada penyimpanan, pengangkutan dan penggunaan akhir, seperti mobiliti, industri dan kegunaan tetap.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan