IPOH, 27 Nov (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) akan menyediakan rebat kepada pemain industri dalam Program Kemampanan Dicapai Melalui Kecekapan Tenaga (SAVE) 4.0.
Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Datuk Hamzah Hussin berkata Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memperuntukkan e-Rebat sehingga RM70 juta bagi menggalakkan pengguna dan industri membeli kelengkapan elektrik cekap tenaga.
Beliau berkata sebelum ini pihaknya telah menerima cadangan daripada pihak industri berkenaan 'berita gembira' bagi mereka, selepas kerajaan hanya mengumumkan inisiatif kepada pengguna isi rumah sebelum ini.
“Jadi kerajaan mencadangkan agar pemain industri turut diberikan rebat bagi membeli peti sejuk industri (chiller) yang baharu jimat tenaga.
“Kita difahamkan kebanyakan chiller ini banyak menggunakan tenaga elektrik dan memang jenis peti sejuk itu agak mahal. Jadi kita nak galakkan mereka untuk tukar kepada baharu yang lebih jimat tenaga,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Coffee Series: How ESG Can Reshape The Industries In Perak anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata sejumlah 292,781 unit rebat telah dinikmati oleh pengguna di seluruh negara melaui Program SAVE 4.0, dengan e-rebat yang ditawarkan sehingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara bertaraf empat atau lima bintang cekap tenaga di kedai berdaftar atau platform e-dagang.
Beliau berkata program itu sepatutnya tamat pada Disember 2024 tetapi sehingga Ogos 2024, lebih 245,000 unit rebat daripada 250,000 yang diperuntukkan telah pun ditebus dan kerajaan telah menambah RM10 juta lagi sebelum ini.
“Pengguna telah menebus 149,952 unit bagi penyaman udara, manakala lebih 142,829 unit bagi peti sejuk dalam Program SAVE 4.0 sepanjang tahun ini dan penebusan tertinggi direkodkan di Kedah melibatkan 43,187 unit, diikuti Johor (39,909 unit) dan Selangor (38, 497 unit).
“Program ini dianggarkan mampu menjimatkan sehingga 200.35 gigawatt jam setahun, bersamaan dengan nilai RM79 juta setahun dan mampu mengurangkan sehingga 128,000 tan karbon dioksida setahun,” katanya.
Beliau berkata Program SAVE 4.0, membabitkan nilai RM58.5 juta daripada keseluruhan RM60 juta yang telah diperuntukkan oleh kerajaan.
-- BERNAMA