KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Semakan draf perjanjian bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara kerajaan Malaysia dan Singapura kini di peringkat akhir dan dijangka dapat dimuktamadkan pada Disember ini, kata Kementerian Ekonomi.
Sehubungan itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kertas Jemaah Menteri berkaitan akan dibentangkan dalam tempoh seminggu dua ini sebelum dapat dimuktamadkan.
“Ini juga bagi membolehkan kedua-dua negara dapat menandatangani perjanjian itu pada Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura pada awal Disember.
“Selepas ditandatangani, kedua-dua negara dapat merangka pelan induk mengikut nod pembangunan yang telah ditetapkan,” katanya.
Rafizi berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai perkembangan terkini pelaburan di JS-SEZ pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas persediaan Malaysia dalam mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing dan meletakkan tenaga kerja tempatan dalam JS-SEZ, beliau berkata proses berkenaan perlu dilakukan secara bersepadu dan berfasa melalui konsep zon itu.
“Jika kita ingin mewujudkan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi, kita perlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. (Namun) sekiranya ingin menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi terlebih dahulu, pelaburan-pelaburan ini akan ke negara lain.
"Oleh itu, usaha ini perlu dilakukan secara bersepadu dan berfasa melalui konsep JS-SEZ supaya kita dapat mengembangkan industri-industri yang sebelum ini tiada di Malaysia," katanya.
Rafizi berkata ini penting sejajar dengan matlamat JS-SEZ untuk menarik pelaburan dunia bernilai tinggi bagi mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di kawasan ditetapkan di Johor.
Antara sektor yang dikenal pasti menyokong aspirasi berkenaan adalah digital dan teknologi, tenaga hijau, elektronik termaju dan pembangunan semikonduktor sebagai sebahagian daripada ekosistem kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
-- BERNAMA