AM

AIR TERJUN KOTA TINGGI MASIH DITUTUP ATAS FAKTOR KESELAMATAN

28/11/2024 05:28 PM

ISKANDAR PUTERI, 28 Nov (Bernama) -- Kawasan rekreasi terkenal Air Terjun Kota Tinggi masih ditutup kepada orang ramai atas faktor keselamatan, selepas kawasan berkenaan dilanda bencana banjir besar dan kepala air pada 2019, 2022 dan tahun lepas.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kajian terperinci perlu dilakukan sebelum produk pelancongan berkenaan dibuka semula kepada masyarakat.

“Memang kerajaan negeri nak buka air terjun ini, cuma pihak berkuasa tempatan sedang mengkaji dari segi keselamatan di kawasan berkenaan. Kita sedia maklum berlaku banjir besar di kawasan berkenaan pada 2019, 2022 dan 2023, yang menyebabkan kerosakan infrastruktur bernilai RM3.5 juta yang sudah dinaik taraf.

“Kerajaan Johor sedang melaksanakan kajian teliti bagi memastikan infrastruktur dapat dinaik taraf dan menyelesaikan isu banjir dan kepala air. Itu yang kita sedang laksanakan. Atas faktor keselamatan, kita terpaksa buat kajian lebih terperinci dan mengambil tindakan atas kajian berkenaan sebelum buka semula kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Muszaide Makmor (BN-Sedili) mengenai Air Terjun Kota Tinggi yang masih ditutup sehingga kini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Mei lepas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon dilaporkan berkata Air Terjun Kota Tinggi ditutup sementara waktu sejak 2019 selepas bencana banjir melanda atas sebab-sebab keselamatan awam.

Sementara itu Onn Hafiz berkata kajian teliti perlu dijalankan sebelum Air Terjun Kota Tinggi dapat dibuka semula, susulan kerajaan negeri mengambil iktibar insiden kepala air di beberapa negeri yang mengorbankan nyawa orang awam.

“Kita perlu mengambil pengajaran daripada kejadian kepala air yang mengorbankan nyawa sebelum ini. Pada 2021, berlaku kejadian kepala air dan tanah runtuh di Gunung Jerai yang mengorbankan enam nyawa, terbaru pada 16 Nov, kejadian kepala air di Sungai Jahang, Gopeng, Perak mengorbankan tiga nyawa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan