KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berpeluang mengembangkan keyakinan pelabur untuk terus memilih ASEAN sebagai destinasi utama pelaburan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantarannya di Facebook pada Khamis, beliau berkata Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mengukuhkan kedudukan sebagai sebuah negara dagang dan ekonomi yang berkembang pesat di sebalik ketidaktentuan geopolitik dunia.
“Petang ini sempat luang waktu berdiskusi (mengenai) situasi ekonomi dan kewangan global tatkala menerima menerima kunjungan hormat Peter Wong, Pengerusi HSBC Asia Pasifik dan Omar Siddiq, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia beserta delegasi di pejabat.
“Insya-Allah melalui dasar dan hala tuju Kerajaan MADANI ini, usaha ini akan dapat diintegrasikan ke peringkat ASEAN demi kemajuan dan kemakmuran rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA