EKONOMI

UNTUNG BERSIH IHH HEALTHCARE NAIK KEPADA RM534.0 JUTA PADA SUKU KETIGA

28/11/2024 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih IHH Healthcare Bhd meningkat kepada RM534.0 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 daripada RM532.0 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, dirangsang oleh permintaan yang berterusan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan pertumbuhan dalam hasil.

Hasil, bagaimanapun, turun kepada RM5.64 bilion daripada RM5.83 bilion pada tahun sebelumnya, kesan daripada pelarasan mata wang mengikut Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 129.

"Tanpa mengambil kira penurunan itu, hasil suku ketiga tahun kewangan 2024 meningkat berikutan permintaan yang berterusan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti, gabungan kes pesakit yang lebih teruk dan pelarasan harga untuk mengatasi inflasi," kata penyedia penjagaan kesihatan bersepadu itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil untuk segmen hospital dan penjagaan kesihatannya meningkat 11 peratus kepada RM5.79 bilion, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat lapan peratus kepada RM1,298 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024.

Keuntungan bersih kumpulan bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 30 Sept 2024 menguncup kepada RM1.93 bilion daripada RM2.22 bilion, manakala hasil meningkat kepada RM17.69 bilion daripada RM15.64 bilion sebelumnya.

Melihat ke hadapan, kumpulan itu menjangka berhadapan cabaran ekonomi dan geopolitik global tetapi kekal yakin dalam mengurus ketidaktentuan dan kekal berada pada laluan pertumbuhan jangka panjangnya, disokong oleh asas yang kukuh, inisiatif pengembangan dan trend penjagaan kesihatan yang meningkat.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Dr Prem Kumar Nair berkata pengambilalihan Island Hospital di Pulau Pinang dan pembukaan Hospital Fortis, Manesar, di India, menambah kapasiti 1,000 katil, membolehkan kumpulan itu melayani lebih ramai pesakit dengan penjagaan yang lebih baik.

"Tatkala kami terus melaksanakan keutamaan strategik dan meletakkan kepentingan pesakit di tengah-tengah semua yang kami lakukan, kami tetap yakin dengan trajektori pertumbuhan kami," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan