KOTA BHARU, 1 Dis (Bernama) -- Persatuan Komuniti Kedai Melor (PKMM) menggunakan bot menyelamat ringan dan bersaiz sederhana untuk membantu lebih 200 mangsa sehari, yang terperangkap banjir sejak Rabu lepas.
Bendahari PKMM Ku Mat Ku Besar berkata bot berkenaan diberikan oleh Pasukan Tindakan Kecemasan (CDERT) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Ketereh.
Beliau berkata PKKM berfungsi sebagai pihak bertindak pertama kepada komuniti apabila berlaku bencana banjir sebelum agensi-agensi keselamatan lain tiba.
“Kami segera bertindak menerusi gerakan menyelamat sebaik menerima panggilan daripada penduduk.
“Banjir kali ini lebih 200 mangsa banjir sehari yang terperangkap dalam air dan arus deras dan kami beri perkhidmatan bawa penumpang serta barang-barang pemindahan,” katanya katanya kepada Bernama hari ini.
Ku Mat berkata bermula dari 7 pagi hingga Maghrib, pihaknya berusaha masuk ke laluan kecil kampung yang berarus deras terutama melibatkan penumpang Orang Kurang Upaya, sakit kronik seperti jantung dan buah pinggang.
Beliau berkata setakat ini, pihaknya mempunyai bot yang digunakan untuk kerja-kerja menyelamatkan mangsa banjir diterima pada 2022 setelah penubuhan persatuan sejak 2011.
“Bot penyelamat yang kami bawa ini, bergerak berdasarkan persetujuan persatuan 15 orang untuk bahagian pengurusan badan bukan kerajaan.
“Biasanya dalam satu misi menyelamat, kami menjalankannya bersama tiga orang dalam satu bot melibatkan pemandu bot dan pembantu bot sebagai ahli biasa,” katanya.
Beliau berkata misi menyelamat berkenaan melibatkan kampung yang mudah dinaiki air seperti di Kampung Sri Kulim dan Kampung Padang Raja.
Ku Mat berkata terdapat 30 orang ahli PKMM terdiri daripada peniaga Pasar Melor dan aktiviti menyelamat akan diteruskan pada masa banjir ini, memandangkan masih ada mangsa banjir yang tidak berpindah dan terkepung di rumah mereka.
-- BERNAMA