EKONOMI

UTAMAKAN PERKAPALAN NEGARA UNTUK DORONG INISIATIF HIJAU, SOKONG PENGGUNAAN KAPAL TEMPATAN

01/12/2024 05:53 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Kerajaan mesti mengutamakan industri perkapalan domestik dalam usaha memajukan perkapalan hijau dan pada masa sama menetapkan dasar perkapalan negara yang baharu untuk menangani jurang berpanjangan dalam sektor itu, kata persatuan industri perkapalan.

Pengerusi Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA) Mohamed Safwan Othman berkata perbelanjaan modal untuk perkapalan hijau adalah 30 peratus lebih tinggi daripada perbelanjaan bagi kapal tradisional.

“Industri ini berintensifkan modal dan kadar pembiayaan bagi perkapalan di Malaysia tidak kompetitif berbanding negara jiran seperti Singapura dan Hong Kong.

“Walaupun kita mempunyai inisiatif hijau di Malaysia namun, usaha itu agak kecil dari segi skala, terutama jika dibandingkan dengan jiran kita. Lebih-lebih lagi, ekuiti persendirian di sini tidak semaju di negara tersebut,” katanya kepada Bernama selepas sesi perbincangan isu pembiayaan perkapalan dan trend pasaran.

Sesi itu diadakan sempena Persidangan Undang-undang dan Perniagaan Maritim Asia selama dua hari berakhir semalam dan perbincangan itu dimudah cara oleh Presiden Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Sokongan Minyak Malaysia (MOSVA) Jamalludin Obeng.

Mohamed Safwan berkata dasar perkapalan negara yang komprehensif penting untuk menangani kebimbangan yang menjadi cabaran bagi sektor perkapalan tempatan.

“Kami terlibat secara aktif dalam merangka dasar perkapalan yang baharu ini, dan berharap seawal tahun depan, draf itu akan siap. Lebih penting, kami memerlukan pembiayaan perkapalan yang khusus, bukan sahaja daripada Bank Pembangunan Malaysia Bhd malah juga daripada kalangan bank perdagangan,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bank Pembangunan Malaysia akan menyediakan pembiayaan RM6.4 bilion untuk menyokong pembangunan infrastruktur, pendigitalan, pelancongan, logistik, pengangkutan, tenaga boleh baharu dan peralihan tenaga.

Mohamed Safwan berkata industri perkapalan sekurang-kurangnya termasuk dalam tiga aspek yang ditekankan itu.

“Ini menimbulkan ketidakpastian mengenai ketersediaan dana memandangkan sumber itu akan dikongsi beberapa industri…akan ada banyak persaingan kerana dana yang diperuntukkan tidak akan mencukupi,” katanya.

Beliau juga berkata industri itu adalah antara faktor yang menyebabkan imbangan pembayaran negatif Malaysia, situasi yang boleh dikurangkan jika kapal tempatan digunakan untuk mengangkut komoditi utama seperti minyak sawit.

“Kita mengeksport minyak sawit mentah (MSM) ke seluruh dunia, namun hampir keseluruhannya diangkut oleh kapal asing. Kita sepatutnya mempunyai lebih banyak kapal untuk membawa kargo kita sendiri,” katanya.

Selain itu, Mohamed Safwan berkata walaupun kalangan pemilik kapal bersedia untuk melabur dan membeli kapal baharu namun, kemudahan pengisian bahan api alternatif Malaysia masih tidak mencukupi untuk menyokong pertumbuhan industri itu.

Beliau turut menggesa agar hal ehwal maritim diletakkan di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara untuk memastikan sektor itu mendapat perhatian yang sewajarnya.

Sementara itu, Pengarah Pembiayaan Pengangkutan Standard Chartered Bank, Steve Ji turut berkongsi perspektif pembiayaan perkapalan dari sudut pandang industri perbankan.

Beliau berkata industri perkapalan sedang mengalami fasa yang penuh dengan ketidaktentuan di samping berkembang ke arah pelepasan karbon sifar bersih.

Industri itu juga menghadapi cabaran berterusan dengan kadar faedah yang tinggi dan ketidaktentuan geopolitik, terutama dengan kemungkinan kesan pilihan raya Amerika Syarikat (AS), katanya.

“Walaupun menghadapi cabaran, kalangan bank kekal optimistik namun berhati-hati mengenai daya tahan sektor ini. Bagaimanapun, jumlah pembiayaan perkapalan semasa susut kepada US$310 bilion daripada US$350 bilion pada 2008, mewakili 15 peratus daripada nilai kapal berdaftar di dunia.

“Penurunan ini mencerminkan peralihan dalam dinamik pasaran dengan beberapa peserta utama tidak lagi menjalankan perniagaan ini, sekali gus menandakan prospeknya dalam keadaan berhati-hati walaupun pendatang baharu terus muncul,” katanya.

Steve berkata laluan ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjadi semakin penting dalam beberapa tahun kebelakangan ini berdasarkan matlamat Perjanjian Paris 2016 serta inisiatif seperti Prinsip Poseidon yang dilancarkan oleh 11 bank dan kini diterima pakai oleh 34 bank yang mewakili 80 peratus pembiaya perkapalan global.

Beliau berkata perkara itu menunjukkan komitmen terhadap pembiayaan perkapalan yang mampan.

“Kalangan pemilik kapal mesti sejajar dengan prinsip ini memandangkan pihak bank secara kolektif menyokong peralihan sifar bersih. Dalam menuju ke hadapan, langkah kawal selia akan terus diperketat.

“Peraturan tambahan mengenai bahan api maritim akan dilaksanakan pada 2025, dan menjelang 2026, keamatan karbon yang lebih ketat dan indeks kecekapan tenaga akan terus memacu usaha industri ke arah kemampanan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan