IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Perak mencatatkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan dari Januari hingga Jun tahun ini dengan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM3.04 bilion daripada 166 projek, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata daripada jumlah itu, RM2.85 bilion merupakan pelaburan domestik, manakala RM184.2 juta ialah pelaburan asing.
Beliau berkata sektor perkilangan menyumbang RM601.5 juta daripada 30 projek (RM457.3 juta pelaburan domestik dan RM144.2 juta pelaburan asing), manakala sektor perkhidmatan pula menyumbang RM2.44 bilion daripada 136 projek (RM2.40 bilion pelaburan domestik dan RM40.0 juta pelaburan asing).
“Pelaburan ini (sektor berkenaan) dijangka akan mewujudkan 1,560 peluang pekerjaan, dengan 1,249 pekerjaan dalam sektor pembuatan dan 311 pekerjaan dalam sektor perkhidmatan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan DUN Perak di sini.
Loh (PH-Jalong) menjawab soalan Ong Seng Guan (PH-Pokok Assam) yang ingin tahu berkenaan prestasi pelaburan di Perak, terutama pencapaian pelaburan sektor perindustrian di bandar Taiping tahun ini.
Sementara itu, Loh berkata di Taiping sahaja, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh yang sama ialah RM272.7 juta iaitu RM112.3 juta pelaburan domestik dan RM160.4 juta pelaburan asing.
“Projek-projek ini yang diuruskan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merangkumi 17 projek yang dijangka mencipta 277 peluang pekerjaan,” katanya.
-- BERNAMA