KUALA TERENGGANU, 2 Dis (Bernama) -- Sebanyak 48 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, Ajil, Hulu Terengganu yang terjejas banjir, dapat menduduki peperiksaan itu hari ini selepas dipindahkan ke pusat peperiksaan lain oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) Lt Kol Mohd Ashafiq Abdul Aziz berkata kesemua pelajar dan dua guru daripada sekolah itu, selamat dipindahkan pasukannya ke SMK Landas, petang semalam.
“Operasi pemindahan selama tiga jam ini dilaksanakan kerana pusat peperiksaan SMK Menerong ditutup disebabkan bencana banjir dan operasi itu dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Pemindahan ini menggunakan aset perairan dan kenderaan milik ATM dan agensi yang lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Ashafiq berkata operasi berkenaan bermula dengan kesemua pelajar dan guru berkenaan diambil menggunakan trak di SMK Menerong untuk ke Kampung Pengkalan Ajal iaitu kira-kira sejauh 6 kilometer (km).
Beliau berkata mereka kemudianya menaiki bot bagi melepasi kawasan banjir sedalam dua meter di sepanjang laluan kampung tersebut, sebelum menyambung perjalanan ke SMK Landas menggunakan trak PDRM.
Operasi diketuai Ketua Kompeni Batalion Ke-18 RAMD (Para) Mej Mohd Shahril Usof.
Untuk rekod, seramai 18,907 calon SPM termasuk 1,734 calon yang terkesan banjir akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini di Terengganu.
-- BERNAMA