EKONOMI

PAHANG CATAT PERTUMBUHAN EKONOMI 5.2 PERATUS PADA 2023

02/12/2024 02:23 PM

KUANTAN, 2 Dis (Bernama) -- Ekonomi Pahang menyaksikan pertumbuhan 5.2 peratus pada 2023, mengatasi pertumbuhan 3.6 peratus di peringkat nasional dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM64.9 bilion, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib berkata sektor pembuatan menyumbang peratusan signifikan kepada KDNK iaitu 21.6 peratus dengan nilai RM14 bilion pada 2023, meningkat berbanding RM13.7 bilion pada 2022. 

“Eksport produk pembuatan seperti bahan kimia dan logam membantu meningkatkan hasil perdagangan negeri. Nilai eksport pada 2023 adalah RM32.7 bilion berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri Pahang Tahun 2023 yang dikeluarkan pada 2024,” katanya. 

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Abd Aziz Mat Kiram (BN-Batu Talam) yang ingin tahu sektor utama industri di negeri ini dan bagaimana ia menyumbang kepada ekonomi Pahang. 

Nizar berkata industri pembuatan mencipta ribuan peluang pekerjaan di pelbagai peringkat sekali gus menyokong ekonomi keluarga dan komuniti setempat. 

“Ini dapat dibuktikan dengan peratus pengangguran daripada 2022 iaitu 2.5 peratus menurun kepada 2.0 peratus pada tahun 2023,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan