EKONOMI

IPG BAGI PEKEBUN KECIL TIDAK TERAKTIF BAGI NOVEMBER 2024 - LGM

02/12/2024 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengumumkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk pekebun kecil tidak teraktif bagi November 2024 di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

LGM menjelaskan oleh yang demikian, tiada pembayaran IPG dilakukan bagi bulan tersebut.

“Pada November 2024, harga purata peringkat ladang bagi getah sekerap adalah RM3.65 sekilogram (Semenanjung Malaysia), RM3.30 sekilogram (Sabah) dan RM3.20 sekilogram (Sarawak),” menurut LGM dalam kenyataan pada Isnin.

Mulai Januari 2024, IPG hanya akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah sekerap berada di paras RM3.00 sekilogram ke bawah.

IPG lateks juga akan teraktif apabila IPG getah sekerap teraktif.

Menurut LGM, kadar IPG lateks ditetapkan pada RM0.90 sekilogram bagi 100 peratus Kandungan Getah Kering (KGK).

IPG akan dibayar kepada pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, tambah LGM.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan