KUCHING, 2 Dis (Bernama) -- SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyasarkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Sarawak menerima manfaat melalui program yang akan dilaksanakan pada 2025, sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI yang lebih saksama dan inklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif Rizal Nainy berkata untuk mempermudah permohonan bantuan yang ditawarkan, PMKS boleh memohon secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu Penarafan dan Insentif PMKS (MyBPI) yang diperkenalkan tahun ini.
“MyBPI ini telah diperakui berjaya memudahkan capaian kepada PMKS sehingga diiktiraf antara projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) semasa Program Dua Tahun Kerajaan MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Beliau berkata sejak 2021, bantuan kewangan berjumlah RM17.6 juta telah diluluskan kepada 3,759 PMKS dari Sarawak oleh SME Corp, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“250 usahawan Sarawak dengan geran bernilai RM3.5 juta atau 11 peratus daripada jumlah keseluruhan sebanyak 2,275 usahawan belia, telah memanfaatkan bantuan menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE),” katanya.
Selain itu, PMKS Sarawak juga mendapat bantuan di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) yang meningkatkan daya saing PMKS melalui bantuan bersepadu meliputi khidmat nasihat, sokongan teknikal, latihan dan bantuan kewangan.
“Daripada 983 PMKS yang telah diluluskan untuk bantuan kewangan berjumlah RM121.9 juta di bawah BEEP 2.0, kira-kira empat peratus adalah PMKS Sarawak dengan bantuan kewangan berjumlah RM6.2 juta.
“SME Corp telah melaksanakan Program Pengukuhan Mikro Madani (Mikro Madani) yang dilancarkan pada 2023. Sebanyak 408 perusahaan mikro Sarawak telah mendapat manfaat serta kelulusan berjumlah RM4.6 juta," katanya.
Rizal berkata program lain yang turut mencatatkan penyertaan memberangsangkan daripada PMKS Sarawak adalah Program Business Accelerator (BAP) dengan kelulusan bantuan RM3 juta.
“Program Mikro Madani menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk geran, pinjaman dan baucar untuk perusahaan mikro melalui lima inisiatif utama iaitu Geran Perniagaan Mikro (GPM), Pembiayaan Perniagaan Mikro (Micro Biz Financing -- MBF), Geran Perniagaan Belia Mikro@TUBE, BEEP Plus Sabah dan Sarawak serta Baucar Status PMKS,” katanya.
Beliau berkata program yang tidak melibatkan bantuan kewangan namun, merekodkan penyertaan tertinggi termasuk Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) serta Program Penarafan dan Akreditasi (SRA).
-- BERNAMA