PASIR MAS, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan akan mempertimbang cadangan agar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan di luar musim tengkujuh.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata perkara itu akan diperhalusi dari semasa ke semasa dan cadangan tersebut melibatkan pelbagai aspek yang perlu diberi perhatian termasuk kebimbangan pelajar apabila tiba musim berkenaan.
Diminta mengulas insiden trak Angkatan Tentera Malaysia yang terbalik dalam Op Murni membabitkan pemindahan calon SPM di Rantau Panjang, beliau berkata semasa kemalangan itu berlaku, ia hanya membawa anggota tentera.
"Bagaimanapun, proses pemindahan berjalan seperti biasa dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan khususnya ATM dan bomba serta agensi penguat kuasa yang terlibat operasi itu," katanya pada sidang media selepas taklimat berkaitan SPM di negeri terjejas banjir di Pejabat Pendidikan Daerah di sini hari ini.
Semalam, trak tujuh tan milik ATM telah tergelincir semasa operasi itu namun insiden tersebut tidak melibatkan calon SPM yang terkesan banjir di Rantau Panjang.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan kenderaan itu telah berjaya dibawa keluar dan kini beroperasi sepenuhnya.
-- BERNAMA