PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Permohonan geran Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) 2025 telah dibuka hari ini, demikian menurut Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).
Sehubungan itu MITRA menjemput agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat mahupun yayasan yang berminat dalam melaksanakan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India untuk mengemukakan permohonan melaluiSistem Permohonan Geran Kewangan MITRA (SPGKM), https://spgkm.mitra.gov.my/
"Organisasi yang berdaftar secara sah dengan agensi pendaftar kerajaan sahaja yang boleh memohon cadangan program pembangunan untuk menaik taraf sosioekonomi masyarakat India yang berfokuskan salah satu empat bidang yang dikemukakan.
"Ia termasuk pendidikan dan pengajian tinggi, ekonomi dan latihan kerjaya, kebajikan dan sosial serta identiti dan keterangkuman," kata MITRA dalam kenyataan hari ini.
Satu organisasi hanya boleh mengemukakan satu permohonan dan hanya permohonan yang dikemukakan melalui SPGKM sahaja akan diproses dan dipertimbangkan.
MITRA berkata garis panduan permohonan geran berkenaan boleh didapati di laman www.mitra.gov.my bermula hari ini dan orang ramai juga boleh mengikuti laman Facebook https://www.facebook.com/mitrajpmofficial?mibextid=ZbWKwL bagi maklumat lanjut.
Permohonan geran PPSMI akan berakhir pada 5 Jan 2025.
-- BERNAMA