DUNGUN, 2 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas motosikal ditunggangnya dihanyutkan arus ketika cuba menyeberang laluan utama yang dinaiki air, ditemukan lemas di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 3, dekat sini hari ini.
Komander Operasi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) Terengganu (Zon 2) Mohd Zailani Abdullah berkata mayat Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, ditemukan pada 2.15 petang kira-kira 10 meter dari lokasi motosikalnya dijumpai sebelum ini.
“Pada operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelah tengah hari tadi kita menggunakan teknik olakan arus iaitu membuat pusingan bot untuk mengapungkan mangsa. Hasilnya, mangsa timbul bersebelahan pasukan penyelamat.
“Kita menguruskan mangsa lebih kurang 20 minit untuk membawanya ke darat dan serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Terdahulu, Wan Muhamad Firdaus dilaporkan hilang selepas motosikal yang ditunggangnya dihanyutkan arus ketika cuba menyeberang laluan utama yang dinaiki air pada awal pagi semalam.
Sebelum itu, pada Sabtu sekitar 5 petang, mangsa bersama dua rakannya dilapor memasuki kawasan ladang terbabit dan dalam perjalanan pulang kira-kira 5 pagi Ahad, rakannya berjaya menyeberang jalan dengan menaiki lori namun motosikal yang ditunggang mangsa tiba-tiba dihanyutkan arus deras sebelum hilang.
-- BERNAMA