TANAH MERAH, 2 Dis (Bernama) -- Keadaan banjir mula surut dan cuaca cerah sejak semalam memberi peluang kepada mangsa banjir di Tanah Merah, untuk pulang membersihkan rumah masing-masing.
Tinjauan Bernama mendapati beberapa kampung seperti Kampung Padang Kijang, Kampung Manal, Kampung Bukit Kecik, Kampung Kuala Kepok yang sebelum ini terjejas teruk akibat banjir, kini penduduk mula kelihatan melakukan kerja-kerja pembersihan rumah.
Seorang mangsa banjir dari Kampung Padang Kijang Azree Awang, 44, berkata dia dan isterinya Norizam Mat, 42, mengambil peluang untuk membersihkan rumah selepas air banjir mula surut.
“Air banjir surut dan cuaca cerah sejak semalam membolehkan saya pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Awam Padang Kijang untuk membersihkan rumah dan peralatan lain.
“Alhamdulillah, paras air turun cepat, sebelum ini paras air naik sehingga hampir tiga meter di rumah saya menyebabkan banyak barangan tidak sempat diselamatkan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Azree berkata kesan daripada banjir itu, dia kerugian ribuan ringgit akibat banyak barangan rosak dan musnah.
“Sedih melihat banyak barangan yang tidak dapat diselamatkan musnah, banjir tahun ini di luar jangkaan kerana kebanyakan barangan dipindah di tingkat atas rumah yang dibina setinggi tiga meter,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zai Hanafi, 58, dari Kampung Kuala Kepok berkata sejak semalam, rata-rata penduduk di kampung terbabit pulang ke rumah untuk membersihkan rumah masing-masing selepas air mula surut.
“Saya bersama isteri Nur Asiyikin Ismail dan anak-anak sudah dua hari membersikan rumah, basuh pakaian dan barangan rumah lain yang rosak.
“Banyak perabot, barangan elektrik, tilam rosak kerana banjir naik minggu lepas setinggi paras dada dalam rumah, menyebabkan saya terpaksa berpindah ke PPS,” katanya.
Sementara itu, di Kota Bharu tinjauan Bernama mendapati beberapa penduduk di Kampung Sri Kulim dan Kampung Padang Raja, Melor, di sini, mula membersihkan kawasan rumah pascabanjir yang ditenggelami air serta selut melibatkan kerosakan perabot dan barangan elektrik.
Bagaimanapun, air masih ada pada paras hampir satu meter di laluan masuk ke kampung berkenaan dan penduduk perlu berikhtiar menggunakan jalan alternatif bagi melaksanakan aktiviti pembersihan.
Mangsa banjir Rahalim Ismail, 61, berkata rumahnya ditenggelami air sedalam lebih dua meter pada Rabu dan Khamis, menyebabkan banyak kerugian dialami.
“Banjir kali ini saya menganggarkan kerugian RM5,000, berikutan kami sekeluarga baru meniaga nasi petang hingga malam di hadapan rumah, jadi banyak barang dan peralatan niaga rosak termasuk dapur gas serta periuk elektrik.
“Rumah ini dua tingkat dan kami sudah mengemas barang-barang penting di tingkat atas, tetapi perabot seperti sofa serta almari sentiasa kena ganti baru setiap tahun selepas banjir,” katanya yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Melor, di sini.
-- BERNAMA