Kemudahan teknologi berserta sikap pemurah masyarakat dilihat menjadi faktor utama berleluasanya kegiatan mengutip derma dan sumbangan secara dalam talian oleh badan bukan kerajaan, institusi dan juga orang perseorangan, yang menggunakan kerja kebajikan sebagai asas kempen mereka.
Namun di sebalik niat murni itu, ada yang menangguk di air keruh, menjadikan kaedah tersebut sebagai sumber pendapatan mereka dengan menyelewengkan dana yang diperoleh.
Bahagian kedua laporan khas Bernama ini mengupas punca, modus operandi dan natijah kepada masyarakat dalam jangka panjang.
Isu penyelewengan dana yang diperoleh daripada sumbangan orang awam bukan perkara baharu, namun perkembangan kegiatan mengutip derma dalam talian yang semakin berleluasa dewasa ini meningkatkan lagi risiko jenayah itu.
Lebih-lebih lagi, kata pakar, pada masa ini tidak ada pemantauan rapi dijalankan ke atas kegiatan tersebut mahupun garis panduan yang jelas, sekali gus membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Pakar juga tidak menolak pendakwaan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan pempengaruh terkenal atas tuduhan menyelewengkan dana sumbangan masyarakat untuk rakyat Palestin pada tahun ini, memberi bayangan isu itu lebih serius daripada yang dilaporkan.
Kata mereka, tidak mustahil orang ramai akan hilang kepercayaan kepada badan amal dan usaha kebajikan jika keadaan itu berterusan, sekali gus menafikan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
MODUS OPERANDI
Mengulas perihal itu, Pakar Kriminologi dan Psikologi, Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Geshina A Mat Saat berkata pelaku melihat kutipan derma dalam talian sebagai “easy money with the least amount of effort", atau cara mudah mendapatkan wang tanpa perlu bekerja keras.
"Berbicara soal penipuan berkaitan kutipan dana, ada banyak faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku, antaranya galakan dalam agama untuk menderma dan membantu mereka yang memerlukan. Aspek ini memudahkan individu, NGO dan badan amal bertopengkan agama melancarkan kutipan dana, kononnya bagi membantu orang susah ketika musim perayaan dan sebagainya.
“Masyarakat yang menderma atas tujuan baik tidak tahu derma mereka dieksploitasi atau disalah guna sehinggalah terbongkar skandal penyelewengan di media massa," katanya kepada Bernama.
pic-2
Malah, katanya, ada pelaku yang menubuhkan NGO palsu atau menggunakan nama NGO terkenal untuk mengutip derma, namun wang yang dikumpul tidak diserahkan kepada golongan sasaran sebaliknya digunakan untuk diri sendiri.
Menurut beliau lagi, tindakan mengambil sejumlah besar daripada sumbangan orang ramai atas alasan menampung kos pentadbiran, juga merupakan satu bentuk penipuan.
"Contohnya, jika kutipan derma diterima RM500,000, mereka hanya memberi kurang daripada 10 peratus hasil kutipan sumbangan kepada (badan) kebajikan dan kelompok individu yang pada asalnya patut dibantu.
“Penipu seperti ini menggunakan pengherotan kognitif atau logik peribadi untuk ‘menghalalkan’ dan meneruskan aktiviti kutipan wang dengan menyatakan potongan (atau bahagian) yang diambil itu sebagai hak atau gaji mereka, atau diambil sebagai kos pengurusan dana sumbangan,” jelasnya.
Geshina berkata di beberapa buah negara, NGO atau badan amal mendapat pelepasan cukai yang seterusnya membolehkan si penipu mendapatkan keuntungan bukan sahaja daripada sumbangan orang ramai tetapi juga payungan kerajaan tanpa disedari pihak berkuasa.
"Jika aktiviti jenayah ini dikesan, bukan satu perkara yang sukar untuk penipu menutup badan amal yang diasaskan dan melarikan diri bersama-sama dengan harta yang tidak sah itu," tambah beliau.
EKSPLOITASI EMPATI MASYARAKAT
Ditanya tentang faktor yang menyumbang kepada berleluasanya kegiatan kutipan derma dalam talian ini, Geshina berkata “kejayaan” mengumpul dana dalam jumlah besar antara yang mendorong penjenayah terus berbuat demikian.
Mereka, katanya, memanipulasi empati masyarakat dengan mengeksploitasi penderitaan pihak tertentu.
pic-5
“Ini ditambah dengan corak pemikiran masyarakat yang biasanya kurang ataupun tidak terfikir langsung wujudnya golongan licik, manipulatif serta sanggup menyalahgunakan bantuan yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
"Apabila berita tentang penyelewengan dana badan amal tersebar, kesannya amat mendalam. Mangsa yang ditipu duitnya berasa dikhianati, marah dan hilang kepercayaan,” katanya, menambah NGO dan badan amal perlu mewujudkan sistem akauntabiliti yang boleh diakses oleh penyumbang.
“Penderma perlu cakna kewujudan penipuan jenis ini dan berusaha memastikan badan amal tersebut adalah yang sah dan boleh dipercayai... tidak boleh bulat-bulat serahkan derma tanpa siasat terlebih dahulu kerana tindakan itu akan menggalakkan secara langsung kegiatan haram.
"Namun tragedi sebenar menimpa golongan rentan. Mereka menjadi mangsa dua kali. Pertama, apabila keperluan mereka dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab, kedua apabila bantuan yang amat diperlukan langsung tidak sampai," tambah beliau sambil menggesa penyumbang membuat laporan polis sekiranya ada bukti penyelewengan dilakukan.
Turut sependapat, pakar penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata beliau yakin ramai yang tidak menyedari kewujudan penyelewengan derma, terutama melibatkan kutipan dalam talian.
“Lebih-lebih lagi apabila kempen derma kelihatan sahih dengan disertakan testimoni palsu dan laporan kewangan rekaan,” katanya, menambah mangsa lazimnya tidak menyemak kesahihan maklumat tersebut.
Beliau berkata apa yang harus dilakukan oleh masyarakat ialah menyiasat dan mengesahkan keabsahan setiap kutipan derma yang dilakukan dengan merujuk pihak berkuasa atau badan berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) atau RoS, terlebih dahulu.
PERLU TINDAKAN SEGERA
Menurut Shahul Hamid, kes penyelewengan sumbangan derma masyarakat sebenarnya sudah berakar umbi sejak sekian lama dan semakin sukar dikawal dengan kewujudan platform media sosial dan kaedah pendanaan khalayak atau crowdfunding.
Beliau juga melihat masalah itu sebagai satu isu kritikal dan perlu ditangani segera memandangkan penyelewengan melibatkan jumlah besar hingga jutaan ringgit.
"Jika dulu sumbangan derma orang awam hanya boleh dikutip menerusi kaedah dari rumah ke rumah atau di kawasan lapang dengan menggunakan permit kutipan derma yang disahkan, mutakhir ini berlaku peningkatan mendadak kutipan dalam talian, membawa kepada satu fenomena yang semakin sukar dikawal," katanya.
pic-3
Justeru, katanya, masyarakat kini menghadapi kesukaran dalam menilai kempen derma yang sah, termasuk mereka yang dikatakan berbuat demikian untuk membantu rakyat Palestin atau Syria, pembinaan masjid atau sumbangan kepada anak-anak yatim.
“Dalam konteks ini, orang ramai boleh melakukan semakan (akan kewujudan pertubuhan) dengan pihak berkuasa atau jabatan berkaitan seperti RoS (JPPM),” katanya.
KUAT KUASA AKTA KHAS
Shahul Hamid berkata dalam amalan perundangan semasa, pertubuhan yang ingin mengutip derma perlu mendapatkan kebenaran atau permit daripada pihak berkuasa seperti polis dan juga Jabatan Agama Islam negeri.
Akan tetapi, katanya, hingga kini tidak ada satu garis panduan atau peraturan mengikat bagi mengawal selia kutipan yang dijalankan oleh pertubuhan terbabit, termasuk pengambilan hingga 30 peratus daripada sumbangan untuk menampung kos pentadbiran.
"Persoalannya, adakah kita benar-benar mampu memantau dan memastikan peratusan ini tidak melebihi had yang disyorkan?" katanya.
pic-6
Shahul Hamid berkata pemerhatiannya juga mendapati banyak NGO dipercayai tidak mempunyai sistem audit yang ketat bagi menjamin ketelusan dan kesaksamaan agihan sumbangan.
"Justeru, kerajaan perlu memperkenalkan undang-undang khusus bagi mengawal kutipan derma terutamanya dalam talian. Adanya akta ini, maka agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), RoS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Perdana Menteri dapat bekerjasama mengawal selia dan memantau kutipan derma secara berkesan,” kata beliau.
Akta itu, katanya, harus menetapkan syarat-syarat ketat melibatkan, antaranya kebenaran mengutip sumbangan, tempoh sah kutipan dan kaedah pengurusan dana.
"Selain itu, sebuah badan penguat kuasa khusus juga boleh ditubuhkan untuk memastikan dana yang dikutip digunakan mengikut tujuan asal dan tidak disalahgunakan," katanya.
Tegas beliau lagi, BNM wajar diberi kuasa tambahan bagi memastikan aktiviti kutipan derma dikawal selia dengan lebih ketat, manakala JPPM perlu memainkan peranan lebih aktif dengan memastikan setiap NGO mematuhi peraturan, termasuk mengawasi penggunaan dana bagi tujuan sah.
Menurut beliau, ketika ini undang-undang sedia ada yang terpakai membabitkan penyelewengan derma ialah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), namun bidang kuasanya agak terhad.
"Dengan penguatkuasaan tegas, kes penyelewengan dapat diminimumkan dan orang ramai akan lebih yakin untuk menyumbang kepada tujuan yang sah. Melalui langkah ini, integriti NGO dan organisasi amal dapat dipelihara, sekali gus memperkukuh kepercayaan masyarakat," katanya.
PEMANTAUAN JPPM
Sementara itu, ketika diajukan soalan tentang isu kutipan derma kepada JPPM, Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata sesebuah NGO dibenarkan berbuat demikian jika aktiviti tersebut dinyatakan dalam perlembagaan NGO berkenaan.
“Dalam memastikan tadbir urus pertubuhan adalah baik dan telus, khususnya dalam tatakelola pengurusan kewangan pertubuhan, sebarang kutipan derma atau penerimaan sumbangan sewajarnya berada dalam ruang lingkup dan selaras dengan perlembagaan pertubuhan serta tidak bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 dan undang-undang lain yang berkuat kuasa," katanya.
Menurut beliau, pertubuhan yang ingin menjalankan aktiviti kutipan derma perlu memohon dan mendapat kelulusan permit daripada pihak berkuasa yang berkenaan.
“Kegagalan untuk mendapatkan kelulusan boleh menyebabkan pertubuhan dikenakan tindakan undang-undang di bawah akta yang berkaitan termasuk Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832)," katanya.
Beliau berkata pertubuhan turut diwajibkan menyerahkan laporan kewangan tahunan kepada JPPM bagi membantu jabatan itu memantau aliran wang dan memastikan tiada ketirisan atau penyelewengan berlaku dalam kutipan derma yang dilakukan.
Dalam konteks pertubuhan NGO berdaftar, JPPM katanya sentiasa memantau dan mengawasi NGO yang berdaftar di bawahnya agar tidak berlawanan dengan matlamat pertubuhan, tidak menyalahi undang-undang negara termasuk isu berkaitan penyalahgunaan sumbangan serta dana kebajikan.
Beliau berkata pemantauan turut dilaksanakan melalui penghantaran Penyata Tahunan oleh pertubuhan-pertubuhan dalam memastikan laporan aktiviti dan kewangan adalah teratur, khususnya bagi kutipan derma yang diterima dan sumbangan yang diberikan.
Menurut beliau, setakat Ogos 2024, terdapat 196,691 badan berdaftar dengan jabatan itu termasuk parti politik, dan daripada jumlah itu, sebanyak 96,722 ialah NGO, meliputi 85,984 NGO induk dan 10,738 buah cawangan, sementara bakinya 99,969 merupakan parti politik, iaitu 70 induk dan 99,899 cawangan.
TIADA MANDAT
Dalam pada itu, BNM memberitahu Bernama organisasi tersebut tidak mempunyai mandat penuh untuk memantau aktiviti kutipan derma oleh NGO atau organisasi bukan berasaskan keuntungan (NPO).
pic-4
BNM berkata sebarang aktiviti kutipan derma termasuk secara dalam talian, tertakluk kepada kawal selia agensi lain seperti JPPM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta PDRM di bawah undang-undang seperti Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan Di Jalan 1947.
"Bagaimanapun BNM ingin menasihatkan masyarakat untuk sentiasa merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan maklum balas,” katanya dalam jawapan bertulis.