KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan telah meluluskan sejumlah RM489.5 billion pelaburan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama bagi tempoh 2023 hingga Jun 2024, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM262.9 bilion atau 53.7 peratus adalah pelaburan asing manakala RM226.5 bilion merupakan pelaburan domestik.
“Pulau Pinang mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi sebanyak RM65.97 bilion dan diikuti Kedah (RM54.90 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM43.79 bilion), Johor (RM38.97 bilion) dan Selangor (RM29.89 bilion)," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai jumlah pelaburan langsung asing yang diluluskan setakat ini serta perinciannya mengikut negeri, di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Liew berkata kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus mempergiat usaha menarik pelaburan berkualiti bagi memberi manfaat kepada negara dan rakyat, termasuk melalui aktiviti ekonomi, peluang perniagaan dan pekerjaan bernilai tinggi.
-- BERNAMA