TOKYO, 3 Dis (Bernama-Kyodo) -- Seorang lelaki ditahan atas dakwaan mencuri cermin mata sambil menunggang moped yang dilengkapi pedal, kata polis pada Isnin.
"Moped" merujuk kepada sejenis kenderaan bermotor kecil yang biasanya dilengkapi enjin berkapasiti rendah dan kadangkala mempunyai pedal.
Kejadian berlaku di tengah populariti kenderaan berkenaan yang dikaitkan dengan peningkatan kemalangan dan kesalahan lalu lintas di Jepun, lapor Kyodo News.
Polis menjumpai sekitar 50 pasang cermin mata di rumah lelaki berusia 49 tahun itu dan sedang menyiasat sama ada dia terlibat dalam jenayah serupa termasuk insiden baru-baru ini di Daerah Shinjuku, Tokyo.
Suspek yang enggan memberi sebarang komen mengenai kes itu, didakwa mencuri cermin mata bernilai 3,000 yen dengan mendekati seorang lelaki berusia 20-an dari belakang, sekitar 9.15 malam pada 2 Sept lalu, menurut polis.
Polis berkata suspek menggunakan alasan bertanyakan arah ke stesen terdekat dan mangsa kemudiannya melaporkan kecurian itu kepada pihak berkuasa.
Suspek turut dikaitkan dengan kes kecurian lain melibatkan moped.
-- BERNAMA-KYODO