AM

PETRA GIAT PERKENAL TENAGA LESTARI DALAM KALANGAN PELAJAR

04/12/2024 09:01 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sedang giat menjalankan usaha memperkenalkan tenaga lestari termasuk tenaga boleh baharu dalam kalangan pelajar melalui penerapan dalam pendidikan secara lebih interaktif dan lawatan di lapangan. 

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata dalam menjayakan hasrat itu, kementerian turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengadakan ruang bagi meningkatkan pemahaman tenaga boleh baharu dalam kalangan pelajar.

“Pada masa sama, kita juga galakkan tidak kira sama ada melalui pengajaran dan pembelajaran dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan sebagainya, dimasukkan juga pengajaran mengenai tenaga lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Program Young Energy Explorer (YEEPE) Studio di Petrosains, The Discovery Centre di sini hari ini. 

Akmal Nasrullah berkata program YEEPE yang telah diperkenalkan sejak 2023 mengandungi empat aktiviti utama dengan memberi fokus kepada elemen tenaga lestari.

“Empat aktiviti itu ialah YEEPE Roadshow, Petrosains RBTX Challenge 2023, Sustainable Visit Experience and Renewable Energy Video Competition dan SEDA YEEPE Studio ini. Studio ini telah dibuka sejak Mac lepas dan telah dikunjungi hampir 50,000 orang setakat ini,” katanya. 

SEDA YEEPE Studio dengan kolaborasi bersama Petrosains adalah studio interaktif berkenaan tenaga lestari bagi memberi pendedahan mengenai SEDA Malaysia dan program tenaga lestari melalui aktiviti ineraktif dan permainan yang lebih santai dan menarik.

Melalui pameran dan aktiviti menarik di studio ini, pengunjung khususnya golongan muda berpeluang meningkatkan kreativiti dan pemahaman mereka tentang kepentingan, impak dan cabaran yang dihadapi dalam membangunkan sektor tenaga negara yang mampan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan