KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) --Kesatuan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Sabah (KPPKPS) menyokong pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan menyifatkannya sebagai kritikal untuk memastikan negara lebih bersedia menghadapi ancaman penyakit berjangkit pada masa depan.
Presiden KPPKPS, Cassidy Kassim, dalam kenyataan berkata sebagai barisan hadapan yang diberi tanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan di bawah akta itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) sering kali menghadapi cabaran besar di lapangan.
“Ini termasuk situasi di mana pegawai berdepan dengan individu yang tidak memberi kerjasama, ancaman keselamatan serta keengganan pihak tertentu untuk mematuhi arahan sah di bawah peruntukan Akta 342,” katanya.
Cassidy berkata kegagalan individu termasuk pesakit dan kontak untuk memberikan maklumat tepat serta keengganan menjalani saringan penyakit berjangkit, menghalang siasatan yang berkesan.
Justeru, beliau berkata Akta 342 merupakan asas penting dalam usaha melaksanakan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit bagi memastikan keselamatan kesihatan awam terjamin terutama ketika berlakunya ancaman wabak penyakit.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media khas berhubung Akta 342 di Putrajaya hari ini menafikan dakwaan kononnya pindaan terhadap akta itu dibuat secara tergesa-gesa dan menegaskan perbincangan mengenai perkara itu telah dibuat seawal 2021 lagi.
Pada 14 Okt lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024, bertujuan memastikan kesiapsiagaan negara menangani ancaman penyakit berjangkit sebelum Dewan Negara meluluskan pindaan Akta 342 itu sebulat suara, semalam.
-- BERNAMA