AM

KERAJAAN KEKAL KAEDAH BANTUAN TERUS KEPADA MANGSA BANJIR - AHMAD ZAHID

03/12/2024 11:33 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan mengekalkan kaedah pemberian terus bantuan kepada mangsa banjir menerusi agensi yang berkaitan berbanding wakil rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu berkata bantuan telah diberikan secara sama rata oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan agensi lain.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) turut memberi bantuan.

"Insya-Allah, dengan keberadaan mereka di tempat banjir terutama pusat pemindahan sementara (PPS) telah cukup meredakan perasaan amarah (mangsa banjir) jika melihat tidak ada wakil rakyat yang turun," katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada sidang media di Parlimen menggesa kerajaan mempertimbang peruntukan segera sebanyak RM1 juta kepada Ahli Parlimen pembangkang yang kawasan mereka terjejas banjir untuk disalurkan kepada mangsa.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula memohon kerajaan agar membenarkan bantuan kewangan disalurkan terus kepada wakil rakyat di kawasan terjejas banjir bagi mengelakkan ia lambat diterima oleh mangsa.

"Kita minta Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen turun untuk membantu mereka dengan kaedah yang mereka sendiri tahu kerana mereka harus menyantuni pengundi masing-masing," kata Ahmad Zahid.

Sementara itu, semasa temu bual bertajuk Dua Tahun MADANI Bersama Zahid Hamidi, beliau berkata kerajaan berpegang kepada konsep 'buta warna' dalam pemberian bantuan kepada mangsa banjir tanpa mengira kawasan.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri harus bekerjasama dalam hal itu demi kebajikan semua rakyat yang terjejas.

"Kita boleh berbeza pendapat tetapi saya harap perkara ini difahami oleh semua supaya kepentingan rakyat diberikan keutamaan," katanya sambil menambah semua negeri tanpa mengira parti yang memerintah harus seiring dengan Kerajaan MADANI.

Ahmad Zahid juga berkata kerajaan ketika ini berada pada tahap persediaan tertinggi bagi mendepani gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku dari 8 hingga 14 Dis akibat luruan monsun.

Beliau berkata ini termasuk mengenal pasti sejumlah 8,481 PPS yang boleh memuatkan lebih 2.1 juta mangsa banjir pada satu-satu masa selain penglibatan 82,000 petugas pelbagai agensi dalam pennyelarasan bantuan.

"Kita tidak mengharapkan sesuatu yang buruk tetapi lebih baik daripada sudah terhantuk baru terngadah," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan