SUKAN

BIDOGLIO PUJI JDT BERJAYA SEKAT GOL BURIRAM

04/12/2024 12:05 PM

ISKANDAR PUTERI, 4 Dis, (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Hector Bidoglio berpuas hati dengan keputusan seri pertembungan pasukan itu dengan kelab gergasi Thailand Buriram United dalam Liga Juara-Juara Elit AFC (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, semalam.

Beliau berkata meskipun JDT gagal memenangi perlawanan dan mengumpul tiga mata, jurulatih berasal dari Argentina itu tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya pada perlawanan keenam mereka dalam liga tersebut. 

"Pemain JDT menunjukkan semangat sepasukan yang tinggi ketika menyerang dan bertahan. Walaupun Buriram United mengasak bertubi-tubi dan menguasai bola sepanjang perlawanan, kami berjaya mengawal permainan dengan baik.

"Misi kami pada baki perlawanan akan datang ialah mengelak kekalahan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan yang menyaksikan keputusan seri 0-0, di sini malam tadi.

Pemain pertahanan JDT Eddy Israfilov berkata mereka telah bermain sebaik mungkin walaupun kekurangan seorang pemain selepas Murilo Santos dilayangkan kad merah pada minit ke-10 kerana melakukan 'foul' ke atas Dion Cools di luar kota penalti. 

"Sukar untuk mengharungi satu perlawanan dengan 10 pemain, terutamanya menentang pasukan kuat seperti Buriram United. Tetapi untuk perlawanan akan datang, kami akan lakukan yang terbaik untuk memperkukuh kedudukan kami dalam ACLE," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Buriram United Osmar Loss turut memuji persembahan pemainnya.

"Pemain kami telah bermain dengan baik dan kami akan cuba untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Untuk rekod, JDT menang dua perlawanan, kalah dua perlawanan dan seri dua perlawanan selepas enam pertemuan dalam ACLE musim ini.

Pasukan Harimau Selatan itu dijadualkan bertemu Kelab Australia Central Coast Mariners FC dan Pohang Steelers daripada Korea Selatan masing-masing pada 11 Feb dan 18 Feb tahun depan. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan