KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar Australia Penny Wong yang kini berada di Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Tahunan Menteri Luar Malaysia-Australia ke-6.
Pada pertemuan di Bangunan Parlimen itu, Anwar dan Wong antara lain membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, pertahanan, keselamatan siber dan pendidikan tinggi menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Australia pada 2025.
Australia dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu turut menyatakan sokongan kepada Malaysia yang akan menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan.
Perdana Menteri turut menggunakan ruang itu untuk menjemput sekali lagi Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Tema untuk Kepengerusian Malaysia yang akan datang ialah "Keterangkuman dan Kelestarian," yang menzahirkan niat Malaysia untuk membimbing ASEAN ke arah pertumbuhan yang adil, lestari dan inklusif.
Dalam pertemuan itu, Australia turut menzahirkan simpati kepada Malaysia atas musibah banjir yang melanda negara ketika ini.
Turut hadir pada pertemuan itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut Wisma Putra, Malaysia dan Australia telah menjalin hubungan diplomatik yang kukuh sejak 1957.
Pada 2023 Australia merupakan rakan dagang terbesar Malaysia, destinasi eksport utama dan sumber import terbesar dalam kalangan negara-negara di rantau Oceania, dengan jumlah dagangan RM84.64 bilion (USD18.56 bilion).
-- BERNAMA