KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Lebih 100 filem akan bersaing dalam 24 kategori dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) Sabtu ini.
Bertemakan EMAS - Evolusi Sinema Malaysia, antara kategori dipertandingkan pada FFM kali ini termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik serta kategori baharu, Dokumentari Terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata kategori itu diperkenalkan semula selepas pihaknya menilai dokumentari sebagai kategori penting dalam ekosistem pembangunan filem dan kandungan tempatan.
“Kita juga melihat pencapaian penggiat seni dan kualiti penghasilan dokumentari tempatan yang membanggakan khususnya di rantau Asia,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.
Mengenai peranan FINAS dalam memastikan kerelevanan FFM, beliau berkata badan itu berdepan cabaran dalam menangani perubahan corak tingkah laku (behavior) penonton masa kini yang tidak cenderung menonton filem di pawagam sebaliknya di televisyen atau peranti serta cabaran menarik orang ramai menonton filem tempatan.
“Sekarang ini banyak platform dan kandungan di luar sana tapi bagaimana kita nak pastikan filem-filem tempatan masih dalam hati penonton di Malaysia, itulah cabarannya. Di sinilah FFM, kita bangkitkan balik semangat tersebut dan menarik minat penonton.
“Sebagai contoh tahun ini sahaja kita ada filem seperti Sheriff ‘box office’ (pecah panggung), bulan ini juga filem dalam bahasa Tamil C4 Cinta yang mendapat kutipan lebih RM2 juta, filem Kahar: Kapla High Council meraih lebih RM4 juta dalam empat hari…dilihat penonton sudah kembali menonton filem tempatan, ini yang kita inginkan dan kita raikan kejayaan ini melalui FFM,” katanya.
Tujuh filem disenarai pendek bagi kategori Filem Terbaik ialah Hungry Ghost Diner oleh Kinovisuals, Abang Adik (More Entertainment), Rain Town (Current Pictures), Sheriff - Skop Productions & Astro Shaw), Imaginur (Lumatic Films), Mechamato Movie (Animonsta Studios) dan Duan Nago Bogho (Kalamariff Holdings).
Azmir Saifuddin berkata antara kelainan FFM33 tahun ini ialah panel juri yang telah membuat penilaian teliti terhadap karya-karya bertanding akan dibenarkan membuat ulasan selepas malam anugerah itu.
“Ini kerana juri akan membawa prestij pada malam itu dan kita akan benarkan panel juri untuk memberi sedikit ulasan selepas malam anugerah…pada setiap festival, aspek penjurian adalah ‘anchor' dan kita ingin membawa FFM ke tahap yang lebih tinggi pada masa depan,” katanya.
Malam Anugerah FFM 33 anjuran FINAS dengan sokongan Kementerian Komunikasi bertujuan mengiktiraf kecemerlangan kualiti filem-filem tempatan dan mengangkat bakat kreatif di negara ini.
Majlis itu bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media serta turut disiarkan secara langsung menerusi RTM TV2 pada 8.30 malam.
Maklumat lanjut mengenai festival dan insiatif FINAS boleh diakses menerusi laman web www.finas.gov.my atau www.ffm.finas.my serta media sosial rasmi @FINASMalaysia (Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok).
-- BERNAMA