KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Sebanyak RM522.35 juta Insentif Pengeluaran Getah (IPG) disalurkan sejak ia dilaksanakan pada 2015 sehingga Oktober 2024 sekali gus memberi manfaat kepada 235,414 pekebun kecil.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerajaan melaksanakan IPG untuk melindungi kebajikan pekebun kecil terutamanya semasa harga getah menurun dan memastikan pendapatan mereka pada paras yang ditetapkan melalui insentif ini.
“Bermula pada 1 Jan 2024, paras harga pengaktifan (PHP) dinaikkan kepada RM3.00 sekilogram dengan siling peruntukan berjumlah RM400 juta,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad berkenaan usaha kementerian dalam memastikan kelestarian ladang penanaman getah susulan perkembangan industri getah yang tidak serancak ladang penanaman sawit.
Johari berkata usaha kelestarian ladang penanaman getah juga dirancakkan melalui Program Konsolidasi Kawasan Getah Terbiar, yang bertujuan memanfaatkan 420,000 hektar kawasan tidak produktif di seluruh negara.
Menurutnya program yang sedang dirangka ini dilaksanakan secara berperingkat melalui kerjasama agensi seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FELCRA Bhd, dan koperasi, melibatkan pendekatan kluster berskala ekonomi untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan.
“Inisiatif ini turut memberi peluang kepada generasi muda menyertai sektor getah melalui penyediaan pekerjaan tetap dan pendapatan lebih menarik,” katanya.
-- BERNAMA