AM

BANJIR: KERAJAAN TERIMA SUMBANGAN RM35.8 JUTA DARI SYARIKAT SWASTA, KORPORAT

04/12/2024 07:25 PM

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan menerima sumbangan sebanyak RM35.8 juta daripada 23 syarikat swasta dan badan korporat, khusus bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Inisiatif itu selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lepas agar syarikat swasta berganding bahu membantu mangsa banjir sama ada dari segi dana atau menghantar jentera bantuan ke kawasan terjejas. 

Anwar ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini berkata semua dana itu akan diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

"Saya minta ICU senaraikan (keperluan infrastruktur) selain daripada apa yang diperuntukkan kerajaan," katanya.

Sumbangan diterima daripada YTL Corporation Bhd dan Yayasan Albukhary, masing-masing menyumbang RM5 juta, manakala Sapura Secured Technologies, U Mobile Sdn Bhd, masing-masing menyumbang RM3 juta, dan Mah Sing Group Bhd, WCT Bhd, IJM Corporation Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd, Berjaya Corporation Bhd dan Press Metal Bhd, masing-masing RM2 juta.

Westports Malaysia Sdn Bhd, Roadcare (M) Sdn Bhd, Sunway Bhd, Malaysia Resources Corporation Bhd, The Weststar Group pula masing-masing menyumbang RM1 juta, manakala Fortress Mining Sdn Bhd, Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd, Johawaki Holdings Sdn Bhd dan Datuk Lawrence Lim Swee Lin (sumbangan peribadi) menyumbang RM500,000.

Sumbangan turut diterima daripada Newsfields Land Sdn Bhd (RM250,000), AHAM Asset Management Bhd (RM250,000), Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) (RM200,000) dan YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd RM100,000.

Perdana Menteri berkata sumbangan itu juga akan digunakan untuk membaiki bangunan sekolah susulan ia banyak digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dan kemungkinan lantai serta tandas sekolah turut memerlukan kerja-kerja baik pulih.

Sumbangan juga akan digunakan bagi menampung bantuan makanan, minuman dan uniform.

Anwar turut menyeru agar terdapat penyelarasan yang lebih baik antara kerajaan dan organisasi lain bagi memastikan bantuan betul-betul sampai kepada mereka yang memerlukan selain dapat mengguna pakai sumber yang ada dengan sebaiknya.

“…saya rasa lebih baik kita salurkan, tak semestinya jabatan kerajaan, kalau ada badan bukan kerajaan yang betul-betul realistik. Jentera-jentera kita di bawah (yang berada di lapangan), dia tahu. Kalau kita pergi sendiri, yang dah dapat bantuan (sebelum ini) kita bantu lagi. Sebab itu kita kena selaras dengan lebih efisien,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan